MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

27 July 2008

Guru 2..

Assalamualaikum WarahmatulLahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Bersyukur kepada Allah Maha Agung kerana dengan keizinannya kita dapat menyambut Hari Guru pada tahun ini sekali lagi. Sambutan Hari Guru ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghormatan yang tinggi kepada warga pendidikan atas sumbangan, peranan, dan tanggungjawab yang telah dipikul saban hari dengan cemerlang demi menjayakan misi negara bagi melahirkan insan yang kamil (sempurna) dari segenap segi.

‘Guru Cemerlang, Negara Terbilang’ merupakan tema sambutan Hari Guru pada tahun ini. Tema ini menuntut supaya warga guru khususnya dan warga pendidikan memberi tumpuan kepada lima perkara utama yang menjadi asas kejayaan dan kewibawaan seseorang guru iaitu kekuatan intelek, kepemimpinan berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah, dan kecintaan terhadap profesion keguruan.

Tema ini amat bertepatan dengan zaman baru yang semakin hari semakin mencabar. Zaman baru ini menuntut supaya guru lebih mahir dalam setiap bidang. Zaman ini menyaksikan gelombang perubahan hasil daripada kemajuan sains, kecanggihan teknologi, dan ledakan ilmu. Bagi menangani perubahan ini, warga guru perlu lebih peka dan sentiasa bersedia untuk turut sama berubah bagi menghadapi keadaan ini. Dalam erti kata yang lain, guru harus bersedia untuk belajar, belajar semula serta menjadi pelajar sepanjang hayat agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan yang amat deras ini.

Generasi pelajar akan datang dididik bukan sekadar mahu menjadikan mereka cemerlang sahaja, tetapi berkemampuan menangani cabaran yang lebih kompleks pada masa depan seiring arus perubahan zaman. Komitmen guru amat penting untuk melahirkan seramai mungkin insan yang cemerlang dan gemilang demi membentuk dan mengekalkan kemajuan negara.

Oleh itu, sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini, saya menyeru semua warga guru agar sama-sama memberi anjakan terkini dalam bidang pendidikan seperti yang dirumuskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan harapan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Kepada warga guru; jadilah guru yang sejati. Guru sejati memanusiakan manusia, demi kemajuan yang bukan sia-sia. Guru sejati berbudi bahasa, berkhidmat demi nusa dan bangsa. Marahnya sayang tegurnya kasih, mulutnya manis hatinya bersih. Guru ibarat sesudu gula, manisnya diingati sampai bila-bila. Terima kasih cikgu!

SELAMAT HARI GURU 2008
GURU CEMERLANG, NEGARA TERBILANG


nota kaki: teks atas ialah kata aluan oleh PPD HP sempena majlis sambutan hari guru peringkat daerah HP yang telah saya siapkan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...