MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

01 September 2008

Ramadhan Al-Mubarak

"Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)." (maksud surah al Baqarah: 185)
Tahun ini, Ramadhan datang lagi. Entah kali ke berapa kita telah menyambut Ramadhan yang dikatakan mulia itu. Entah berapa kali juga kita telah berjaya menyambut Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Entah kali ke berapa amalan kita dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini diterima dengan sepenuhnya.


Sesungguhnya, Ramadhan mengajar kita erti kesamarataan dalam kehidupan bermasyarakat. Kita dapat menyelami kehidupan umat manusia yang lainnya barangkali lapar dahaga melalui berpuasa di siang hari, perlu pertolongan harta benda melalui berzakat, beribadah dan sebagainya.


Ramadhan sebenarnya bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa iaitu menahan diri daripada makan atau minum semata-mata, tetapi ia mempunyai makna lebih besar daripada itu. Jika dikatakan bahawa Ramadhan ini bulan berpuasa, bulan lain juga sebenarnya boleh berpuasa. Tetapi Ramadhan datang sebagai madrasah atau sekolah mendidik umat manusia agar sama-sama bertolong bantu kepada mereka yang lebih memerlukan, mendidik manusia agar merebut segala ganjaran pahala yang melimpah ruah, mendidik umat manusia supaya sama-sama merasai kesempatan nikmat bulan yang datang setahun sekali.


Rasul SAW pernah bersabda, mafhumnya;
"Orang yang sembahyang pada bulan Ramadhan, tiap sekali sujud dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan dan dibinakan rumah di dalam syurga daripada permata. Bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 70 000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina pula sebuah mahligai baginya."

Ramadhan juga bulan yang mengajar kita erti keinsafan. Kita menginsafi para sahabat kita yang jauh lebih perit dalam menempuh kehidupan mendatang. Kita juga didik supaya turut sama menginsafi mereka yang tidak berupaya. Barangkali ada antara mereka yang sangat memerlukan bantuan, datangnya Ramadhan bulan untuk umat bersedekah menabur bakti membantu mereka melalui amalan berzakat yang diwajibkan pada bulan ini. Sehubungan itu, nasib umat Islam bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai yang sedang dalam bahaya tidak harus kita lupa.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, bermaksud; "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana telah diwajibkan kepada orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mudah-mudah kamu bertaqwa."

Dalam ayat ini, Allah menyeru kepada hanya orang-orang beriman sahaja yang diwajibkan berpuasa. Ini memberi makna kepada mereka yang beriman, mereka pasti akan menunaikan ibadat fardu ini. Kedua, amalan berpuasa ini mempunyai objektif khusus, iaitu seperti disebut dalam ayat terakhir ayat tersebut, mudah-mudahan kamu bertaqwa. Diharapkan setelah selesai melakukan amalan fardu ini, seseorang itu akan terus bertaqwa kepada Allah Taala.


Sidang pembaca budiman;
Ramadhan: padanya ada rahmat, keampunan, dan nikmat. Bulan ini, bulan berpesta pahala dengan sepuas-puasnya. Pahala yang digandakan lebih daripada bulan-bulan lain.

Antara keistimewaan bulan Ramadhan ini;
  • diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk;
  • diampunkan dosa sesiapa yang berpuasa;
  • dibuka pintu Syurga, ditutup pintu neraka;
  • dirantai segala syaitan;
  • dipermulaannya rahmat, kemudian keampunan, dan pembebasan api neraka;
  • setiap kebajikan akan diberi pahala sebanyak 10 hingga 700 ganjaran;
  • adanya malam lailatul qadar yang mulia melebihi kemuliaan seribu bulan;
  • puasa sebagai perisai dari api neraka; dan
  • puasa dikira ibadah setiap saat iaitu dari pagi hingga petang selagi tidak mengumpat atau menyakiti muslim lain.
Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dengan penuh rasa keinsafan sempena kedatangan Ramadhan yang mulia ini. Banyakkanlah doa agar kita dan umat Islam seluruhnya sentiasa bersemangat untuk menghadapi hari-hari muka dengan labih baik. Kedatangan Ramadhan tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan akibat daripada manahan diri daripada lapar dahaga, tetapi seharusnya ia menjadi pembakar semangat fizikal dan mental seperti yang berlaku pada peperangan Badar.

Peperangan ini telah berlaku dalam bulan Ramadhan, dengan penyertaan tentera muslim hanya seramai 12 000 orang bertempur dengan tentera musuh sehingga mencapai bilangan 90 000 orang tentera. Menakjubkan tentera Islam yang sedikit bilangannya itu menang menewaskan majoriti bilangan tentera musuh. Allahu akbar!


Sidang pembaca budiman;

Dengan rasa hormat, saya mengucapkan Salam Ramadhan Mubarak kepada muslimin dan muslimat dan kepada para pembaca budiman sekalian. Semoga ibadah puasa dan segala amalan sampingan yang dikerjakan kita pada kali ini menjadi ibadah terbaik daripada yang terdahulu.


Salam Ramadhan al-Mubarak al-Kareem

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...