MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

01 August 2008

Sejenak mengingati S Othman Kelantan



Sekitar bulan Mei tahun 2005, saya dipilih menjadi fasilitator Perkhemahan Penulis Kanak-kanak Kebangsaan anjuran DBP di Port Dickson. Kesempatan sejenak bertemu dan berbual dengan Allahyarham S Othman, isteri, dan anaknya masih segar diingatan saya.

Allahyarham bersama anak dan isterinya sedang makan di kafe hotel tempat perkhemahan tersebut diadakan. Saya bersama-sama mereka.

Pada waktu itu, novel-novel Allahyarham baru dipasarkan dengan meluas selepas menerima Anugerah Sasterawan Negara. Saya memiliki 3 buah novel beliau iaitu Jogho, Wajah Seorang Wanita, Orang Kota Bharu serta sebuah antologi cerpen bertajuk Berjalan-jalan Di Sini.

Saya memulakan perbualan dengan membuat perbandingan menyamakan pakaian yang dipakai adalah serupa dengan saya - baju bercorak petak-petak. Katanya nampak menarik dan ringkas.

Bercerita tentang karya beliau, katanya kita harus menjadi pengamat yang setia. Baru boleh membina karya besar.

Waktu itu, baharu saya sedar yang kulit depan Novel Wajah Seorang Wanita ialah wajah isterinya. Lalu diajukan soalan. Dijawabnya, mana ada dalam dunia ni penulis guna wajah isteri buat letak di kulit buku.

Beliau meningalkan sedikit catatan di kulit buku saya dengan tulisan yang tidak saya fahami. Katanya, tulisan itu adalah karya beliau dan tiada seorang pun dapat membaca melainkan beliau. Tulisan itu adalah campuran daripada tulisan jawi dan rumi.

PM Syed Othman, nama besar dalam dunia sastera. Bahasanya ringkas, tapi mendalam. Ayatnya pendek, tapi bermakna panjang. Saya suka membaca berulangkali cerpen dalam antologi Berjalan-jalan Di Sini.

Dalam sedikit masa lagi, akan saya coretkan satu dua cerpen beliau buat tatapan kita bersama.

............

S OTHMAN KELANTAN atau nama sebenarnya Syed Othman bin Syed Omar (al-Yahya) dilahirkan pada 13 November 1938, di Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu, Kelantan.

Beliau memperoleh Sarjana Muda Sastera (1979) dan Sarjana Sastera (1982/83) dari Universiti Sains Malaysia. Kemudian pada tahun 1994/95 beliau memperoleh Ph.D dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Setelah lulus Ijazah Sarjana, S Othman berkhidmat dengan Universiti Sains Malaysia selama dua tahun. Mulai tahun 1983, beliau berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai pensyarah di fakulti Pendidikan/ATMA.

Jawatan terakhirnya yang disandang ialah Profesor Madya hingga beliau bersara pada tahun 1997. Kemudian beliau berkhidmat sebagai karyawan tamu di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (1997-1999). Kini beliau menjadi pensyarah sambilan di Pujangga Management Institute (Francais UUM).

S Othman Kelantan aktif menulis puisi, cerpen, novel serta esei/kritikan. Sehingga kini S Othman telah menghasilkan lebih 182 buah cerpen. Beliau gemar meneroka persoalan yang mencakupi soal-soal kemasyarakatan, politik, agama, dan falsafah. Novel yang dihasilkannya ialah 12 buah novel dewasa dan empat buah novel remaja.

Dalam dunia kesusasteraan, Allahyarham menonjol sebagai novelis dan cerpenis yang membawa isu-isu rakyat selain dikenali antara sarjana sastera yang banyak menyumbang dalam pembangunan kesusasteraan.

S. Othman Kelantan dipilih sebagai Sasterawan Negara kesembilan pada 2003 selepas menceburi dunia kesusasteraan sejak tahun 1960-an. Kalau diukur dengan angka, jumlah novel S. Othman Kelantan mungkin kecil malah tidak dapat menyaingi penulis novel popular yang menghasilkan berpuluh-puluh novel. Tetapi dalam dunia pengkaryaan, jumlah yang banyak bukan ukuran keunggulan pemikiran di dalamnya. Begitu juga S. Othman Kelantan yang menghasilkan 12 novel dan empat novel remaja. Tetapi karya-karya S. Othman Kelantan memberi kesan yang besar serta menyumbang kepada perubahan landskap sosial dan politik di negara ini.

Antara novel beliau yang terkenal ialah Pengertian (1966), Pertentangan (1967), Angin Timur Laut (1969), Perjudian (1973), Juara (1973), Perwira (1980), Ruang Perjalanan (1989), Wajah Seorang Wanita (1990), Ustaz (1991), Nagogho Astana (1997), dan Orang Kota Bharu (2003. Beliau juga menghasilkan lima buah antologi cerpen persendirian.

Cerpen dan novel beliau pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Jepun, Inggeris, Rusia, Thai, Vietnam dan Cina.

Sebagai seorang sarjana sastera, beliau telah menghasilkan banyak buku-buku akademik yang berkaitan tentang kesusasteraan.

Selain menulis cerpen dan novel, S Othman Kelantan turut menghasilkan esei dan kertas-kertas kerja untuk beberapa pertemuan penulis baik pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan sebanyak 364 buah esei/kritikan.

Di samping berkecimpung dalam dunia penulisan sastera, beliau turut terlibat dalam kegiatan persatuan penulis. Beliau pernah menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK) (1973-1976), Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK, dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (Puspa).

Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam dunia kesusasteraan mewajarkan beliau dipilih untuk menerima hadiah seperti Hadiah Peraduan Mengarang Novel DBP 1962, Pelangi (sagu hati), Hadiah Sastera Malaysia 1972, 1973, 1974 (cerpen) dan 1984 (esei), S.E.A. Write Awards (1990), Pingat Bakti (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan (1973), Pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh DYMM Yang di-Pertuan Agong (1974), Anugerah Tokoh Sastera Negeri Kelantan (2003), dan Anugerah Sastera Negara (2003).

Tengah malam kelmarin, S. Othman Kelantan menghembuskan nafas terakhir di Hospital Serdang akibat sakit jantung pada usia 70 tahun. Beliau telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sg. Tangkas, Bangi.

Takziah buat keluarga Allahyarham Syed Othman Syed Omar.
Semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah.


Al-Fatihah..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...