MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

13 April 2012

TEKNOLOGI TANPA SEMPADAN: MENYUSUR SUNGAI PERUBAHAN (Siri 2)

Oleh: Mohd Luqman Hidayat bin Ismail

Apabila KPM membuka peluang kepada guru-guru yang masih belum memiliki ijazah pertama menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda, peluang ini telah ‘memaksa’ mereka menggunakan Internet bagi tujuan mencari bahan-bahan ilmiah untuk menyelesaikan tugasan. Dunia Internet mempunyai jutaan maklumat dalam pelbagai bidang. Mahu tidak mahu, guru-guru pada mulanya fobia dengan Internet telah mula berjinak-jinak dengan dunia IT. Di sekolah-sekolah juga, terdapat pelbagai sistem pengurusan yang perlu diakses secara langsung oleh para guru melalui sistem atas talian antaranya Sistem Kutipan Data Kehadiran yang perlu diakses setiap hari, Sistem Pertukaran Guru (e-GTukar), Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS), Sistem Maklumat Pengurusan Pendidikan (EMIS), Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) dan sebagainya. Peringkat awal sistem ini beroperasi, mungkin ramai mengeluh untuk menggunakannya tetapi lama-kelamaan menjadi rutin sekaligus menghilangkan fobia yang dibentuk sekian lama.

Hari ini, dapat dilihat di sekolah-sekolah seluruh Malaysia telah berlakunya peningkatan penggunaan komputer dalam kalangan warga sekolah termasuk kakitangan sokongan. Di Terengganu misalnya, kerajaan negeri telah melancarkan Program e-Buku yang membabitkan 25 ribu orang murid tahun lima dar 100 buah sekolah pada tahun 2009 lagi. Kerajaan Negeri Terengganu memperuntukan RM30 juta setiap tahun untuk membiayai projek ini. Program yang berpandangan jauh ini bakal melahirkan masyarakat bertaraf global dengan tahap intelektual yang tinggi. Perubahan gaya belajar dan bekerja hari ini menyumbang kepada peningkatan penggunaan literasi komputer dan pengintegrasian pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah ke arah mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang kaya dengan maklumat serta bijak memproses data maklumat yang diperolehi dan menggunakannya pada tempat yang wajar. Menjadi masyarakat yang kaya dengan maklumat akan membantu negara mencapai Wawasan 2020 dengan jayanya dan menepati ciri-ciri masyarakat abad ke-21 yang telah digariskan. Benarlah seperti perkara yang ditulis oleh Naisbitt (1982) dalam bukunya bertajuk ‘Megatrends’. Tulisnya, “… the source of money is not in the hands of a few but information in the hands of many.” Barangkali boleh dikatakan bahawa kekuatan kewangan menjadi kurang penting berbanding kekuatan maklumat. Menjadi kuat dengan milikan kewangan yang banyak tidak bertahan lama berbanding menjadi kuat kerana mempunyai jutaan maklumat. Saidina Ali berpesan bahawa, “kalau kamu mempunyai wang, kamu gunakan wang itu dan kamu akan dapati bahawa wang itu semakin berkurang, tetapi kalau kamu mempunyai ilmu dan menggunakan ilmu itu, kamu akan mendapati bahawa ilmu itu semakin bertambah.” Seperti yang telah dinyatakan bahawa Internet menjadi cara mudah untuk mengakses maklumat dalam pelbagai bidang. Guru-guru veteran tidak harus gusar untuk menggunakan wadah ini kerana penggunaannya sangat mudah – hanya menggunakan kata kunci dan jari-jemari sahaja selain peralatan yang lengkap!

Dunia teknologi khususnya perkomputeran berfungsi sebagai memenuhi keperluan fisiologi manusia. Dalam catatan Maslow, manusia perlu memenuhi keperluan diri antaranya hiburan. Dalam dunia Internet, pelbagai hiburan dapat dilayari dengan mudah oleh pengguna tanpa dapat disekat. Hiburan hari ini lebih banyak menjurus kepada kerosakan akhlak seperti penindasan, keganasan, dan seks serta jauh menyimpang daripada kurikulum pendidikan di sekolah dan nilai masyarakat Timur. Kemaraan teknologi ini tidak harus mengenepikan kepentingan nilai dan moral masyarakat. Keseimbangan antara nilai dan pengetahuan amat penting kepada pengguna teknologi. Jika pembentukan keseimbangan teknologi dengan nilai dan etika yang murni gagal, kemungkinan teknologi itu akan mendatangkan kerosakan dalam masyarakat dan tidak akan mendatangkan sebarang faedah. Justeru, peranan guru amat besar dalam memberi didikan kepada para murid agar sentiasa berada pada landasan dan keseimbangan yang betul. Guru-guru perlu mendidik generasi muda selain memantapkan diri sendiri dengan peralatan teknologi agar dapat mengurus kemaraan teknologi bersesuaian dengan nilai dan etika yang menjadi kayu ukur kepada masyarakat untuk dijadikan pedoman mengenai baik buruknya sesuatu perkara. Dalam mengurus kemaraan teknologi, dua perkara tidak harus dilupakan iaitu meningkatkan pengetahuan tentang teknologi dan meningkatkan pedagogi bersifat keinsanan (pengajaran, pendidikan, dan etika). Saranan mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya institusi pengajian tinggi (IPT) mewujudkan kursus berkaitan nilai dan etika sangat wajar bagi memastikan ilmu teknologi yang diperoleh oleh masyarakat tidak merosakkan diri mereka sendiri.

Dalam zaman teknologi tanpa sempadan ini, para guru perlu bergerak seiring perkembangan peralatan canggih teknologi dan tidak menampakkan penyisihan perkembangan teknologi dengan pedagogi dan murid tidak harus dipisahkan dengan pembelajaran dan pengajaran berteraskan IT. Pembelajaran dan pengajaran berteraskan IT bukan menyisihkan peranan buku tetapi mempelbagaikan sumber ilmu seiring zaman abad ke-21. Hakikatnya, pembelajaran dan pengajaran hari ini telah bernafas dalam takrifan baharu berbantukan teknologi komputer menerusi Internet.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal".(Ali Imran; ayat 190)


(sambungan siri 1 diterbitkan dalam Buletin iT-tPEN, BTPN Kedah 1/2012)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...