MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

27 November 2008

Sejarah Zaman Bahasa Melayu Moden

oleh; Luqman Hidayat

Apabila melangkah masuk abad ke-20, banyak perubahan berlaku. Negeri-­negeri Melayu yang dahulunya masih bebas terpaksa tunduk di bawah kolonial Barat antaranya negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor mula ditakluki oleh penjajah Inggeris, manakala kerajaan Melayu Riau dihancurkan oleh Belanda. Pengaruh budaya dan tamadun Barat semakin kukuh. Dengan kekukuhan ini, dominasi penjajahan, budaya dan tamadun Barat berkembang di alam Melayu.

Bahasa Melayu dan bahasa-bahasa peribumi yang lain jatuh menjadi bahasa vernakular. Pendidikan Barat dikembangkan dengan mendirikan sekolah-sekolah berbahasa penjajah dan sekolah-­sekolah Kristian di merata-rata tempat di seluruh Nusantara; pegawai-pegawai penjajah disebarkan ke seluruh tanah jajahan bagi mengukuhkan kekuasaan penjajahan mereka. Bangsa Melayu menjadi anak jajahan sahaja.

Menurut rencana yang dipetik dari web www.ib.edu.my/bm-net/bahasa/perkembangan_bahasa_melayu menyatakan bahawa pada awal abad ke-20, penjajah Belanda mengamalkan Dasar Etika (Ethical Policy). Tulisan Rumi dipakai untuk bahasa Melayu dan dibakukan ejaannya. Setelah kerajaan Penjajah Belanda mengadakan sebuah Suruhanjaya iaitu Cominissie voor de Inlandsche School en Volkslectuur (1908) diketuai Dr. G.A.J. Hazeu. Pada tahun 1917 Cominissie itu diubah menjadi Balai Poestaka yang dipimpin oleh Dr. D.A. Ringkes. Balai Poestaka menerbitkan majalah bulanan Sri Poestaka (1918) dan Mingguan Pandji Poestaka (1923). Selain itu ia menerbitkan novel-novel seperti Azab dan Sengsara oleh Mirari Siregar (1920), Sitti Nurbaja oleh Luarah Roesli (1922), dan Salah Asoehan oleh Abdoel Moeis (1928).

Sejarah bahasa Melayu abad ke-20 di Malaysia mengalami beberapa tahap seperti Bahasa Melayu awal abad ke-20 dengan wujudnya Maktab Perguruan Melayu (1900, 1913, 1919) dan majalah al­-Imam (1906), kemudian muncul zaman SITC - Pejabat Karang Mengarang yang berpusat di Tanjong Malim (1922-1941), Bahasa Melayu Zaman Jepun (1942-1945), Bahasa Melayu Pasca-Perang(1945-1949). Bahasa Melayu Pramerdeka (1950-1957), Bahasa Melayu Pascamerdeka (1957-1969), Bahasa Melayu Pasca 1969, dan Bahasa Melayu Pasca 1980.

Dalam abad ke-20 Bahasa Melayu banyak berubah kerana pengaruh kolonial Barat dan juga pengaruh dan Asia Barat serta Jepun. Jumlah sekolah Melayu semakin bertambah banyak - berlipat-lipat kali ganda, maktab-maktab perguruan Melayu dibuka, majalah dan akhbar pelbagai jenis diterbitkan, buku-buku bacaan sekolah, buku-buku umum dan kitab-kitab agama dicetak sama ada di Malaya atau Indonesia. Bahkan ada yang dicetak di Bombay, Cairo, Mekah -Madinah dan Istanbul. Persatuan-persatuan penulis, persatuan-­persatuan kebajikan, kebudayaan, bahasa dan kesusasteraan serta politik tumbuh dengan subur walaupun ditekan dan dicengkam oleh penjajah yang memerintah dengan cara kuku besi.

Bahasa Melayu tetap terus berkembang. Perkembangan bahasa Melayu semakin pesat apabila negara-negara di Dunia Melayu mencapai kemerdekaannya - Indonesia (1945), Malaysia (1957), Singapura (1963) dan Brunei (1984).

Di Malaysia, apabila menjelang kemerdekaan terdirilah kelas-kelas menengah Melayu yang menjadi menengah Melayu, begitulah juga dengan terdirinya institusi-institusi yang lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Maktab Perguruan Bahasa yang kemudiannya Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah menjadi puncak dasar pendidikan kebangsaan. Bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu beberapa penyata, akta, dan penggubalan Perlembagaan Negara telah diluluskan seperti Penyata Razak (1956), Penyata Rahman Talib (1960), Ordinan Pelajaran (1957), Perlembagaan-­perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan Perlembagaan Malaysia (1963), Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (1959 dan 1995), Akta Pendidikan 1961, Akta Bahasa 1963, Akta Bahasa 1967, Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971), Akta Universiti dan Kolej Universiti - Pindaan (1975), dan pelbagai akta yang lain termasuk Akta Pendidikan 1996.

Dalam abad ke-20 bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang moden kerana unsur-unsur moden sudah meresap ke dalam bahasa Melayu, banyak buku yang ditulis dan diterbitkan, banyak majalah dan akhbar yang dicetak dan diedarkan dalam pelbagai bidang dan jurusan bagi memenuhi keperluan orang Melayu dalam zaman moden ini. Perkembangan bahasa Melayu semakin pesat selepas negara ini mencapai kemerdekaannya, terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Buku-buku ilmiah banyak diterbitkan antaranya teks-teks pengajian tinggi, istilah-istilah banyak yang telah digubal, bahkan pada tahun 2000 ini sudah mencapai ke angka 1,000,000 istilah dalam pelbagai bidang ilmu. Selain itu bahasa Melayu juga menjadi bahasa pentadbiran di semua peringkat perkhidmatan awam, dalam mahkamah, dan di semua peringkat pendidikan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...