MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

24 September 2008

salam

salam AKHIR RAMADHAN...

sedar atau tidak, kita telah berada di penghujung Ramadhan yang mulia. Samada kita telah mengejar janji-janji Allah dalam memberi cinta-Nya kepada seluruh hamba-Nya dengan sesungguh hati atau tidak demikian, kita sebenarnya telah berada di akhir Ramadhan yang dijanjikan Pengampunan dari Dosa-dosa.

Beruntunglah mereka yang mengejar dan mendapatnya...

Amin.

16 September 2008

Menilai Sebuah Harga Diri

HARGA DIRI!
Disebut juga maruah, digniti, air muka. Harganya? Mahal atau murah ditentukan sendiri oleh tuan tubuh.
Namun, harga diri ialah sebuah maruah yang menggambarkan akhlak dan peribadi sendiri. Baik seseorang, maka itulah harga diriny manakala sebaliknya, maka sebaliknya. Gaya, cara, dan penyampaian perilaku seseorang sudah mampu menggambarkan murah atau mahalnya harga dirinya.
Harga diri atau maruah ini seharusnya bernilai tinggi dan amat mahal. Berapa mahal? Mengikut Shakespear yang selalu memberi nasihat kepada Rajanya berbunyi begini;
"Jika Tuanku hilang kerajaan, Tuanku sebenarnya tak hilang apa-apa, kerana kerajaan boleh dirampas semula dengan memperhebatkan perjuangan...
Jika Tuanku hilang kesihatan (jatuh sakit), Tuanku baru hilang separuh daripada diri Tuanku..
Tetapi, jika Tuanku hilang harga diri, Tuanku sebenarnya telah hilang segala-galanya..."
Perumpamaan yang dibuat oleh si sasterawan ini ialah dengan memberi nilai yang tinggi kepada harga diri melebihi sebuah kerajaan!
Persoalannya, mengapa terlalu mahal sebuah harga diri itu?
(akan disambung penulisan...)

Apresiasi Tinggi


Setiap pagi sebelum azan Subuh di TV9, dipaparkan cerita pendek dalam sebuah keluarga antara ibu, anak lelaki dan anak perempuan. Cerita ini mengisahkan kepentingan bangun pada waktu sahur atau waktu subuh.

Dirakamkan semula dialog ini seperti bawah;

Ibu : (sedang menggosok baju)
Adik, pergi kejut abang.

Anak perempuan : (berjalan sambil tangan menggosok mata ke bilik abangnya).
Baik ibu.

Anak lelaki : (masih tidur nyenyak di atas kati biliknya).

Anak perempuan : (masuk bilik lalu cuba mengejutkan abangnya yang sedang nyenyak).
Abang, bangun bang.
Ibu kata dah lewat ni...

Anak lelaki : (memalingkan badan)

Anak perempuan : (terus menggoncangkan badan abangnya)
Abang, bangunlah bang...
Dah lewat ni...
Adik takut...
Nanti Tuhan marah...
(sambil menggosok mata)

Anak lelaki : (terus celik mata dan segar).

Pada bahagian dialog 'abang, bangunlah bang, dah lewat ni, adik takut, nanti Tuhan marah' adalah sangat terkesan di jiwa penonton.

Seorang anak kecil mampu mengeluarkan ayat menyatakan rasa takutnya pada Tuhan Maha Agung adalah satu perkara yang amat terkesan kerana si anak kecil dalam lingkungan 7 atau 8 tahun sudah faham makna takut kepada Maha Pencipta.

Betapa anak kecil itu sudah sampai tahap apresiasi rohani tinggi dalam jiwa besarnya walupun masih kecil!!

11 September 2008

Lalu dan Dan...

Lalu dibacanya semua nota-nota guru. Diikutnya semua pesanan-pesanan akhir si guru. Didukungnya semua kata-kata sang guru. Tentang apa sahaja soalan bakal ditanya.

Lalu mereka memulunnyalah (bersungguh-sungguh) dalam mengingati perkara berkenaan. Kerana UPSR hanya sekali. Enam tahun belajar untuk menghadapi UPSR yang sekali.

Lalu diminta ampun kepada semua guru, dan halankanlah ilmu kami, kata murid. Doakan kami kata mereka lagi.

Masuk ke dewan dengan seribu perasaan - senyum, gembira, takut, risau, tenang, khuatir, bangga dan lain-lain. (p/s: petua untuk mendapat ketenangan boleh layari http://cikguimah.blogspot.com kerana beliau ada mencatatkan tips ketenangan di dewan peperiksaan).

Lalu lega rasa lepas satu paper demi satu paper diambil.

Keluar dewan pada hari akhir dengan kata hati yang kuat hooorraaaayyyyy!!!!!!!!

Dan...
Tamatlah peperiksaan terbesar alam sekolah rendah -UPSR!

Jumpalah pula di PMR, dan SPM atau PMR, SPM, dan STPM..

Gunalah ilmu dan nasihat selama berada enam tahun di sekolah rendah oleh para guru dan bawa ia sebagai bekalan menempuh alam remaja yang semakin mencabar dengan selamat.

Sesungguhnya enam tahun awal ialah penanaman dan penyuburan benih...enam tahun kedua penyuburan dan pembentukan tunas..enam tahun ketiga cabaran awal alam dan enam tahun seterusnya cabaran sebenar di alam ini....

08 September 2008

nikmat

Segala yang dihasrat
tetapi tak dapat,
adalah nikmat
yang paling padat...

A Samad Said


Keterangan:
Nikmat sukar diterangkan secara terperinci. Dalam kata lain, ia sebuah atau sesuatu yang membuatkan seseorang rasa bahagia. Bahagia juga sukar ditakrifkan kerana ia sangat halus sifatnya.

Bagi pencinta alam sekitar, masuk hutan, lihat pokok nan hijau, alam sekitar yang bersih, itu nikmat baginya yang naturalis.

Nikmat berjumpa pelajar, mengajar para pelajarnya, berada di hadapan cermin lalu berucap, itu nikmat bagi seorang yang suka berpidato barangkali atau speaker.

Dapat menyedut barang sekali dua sedutan, membalut daun barangkali nikmat bagi seorang yang cintakan rokok.

Apapun, nikmat dapat ditakrifkan oleh diri sendiri.

'Sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahkan lagi nikmat-Ku kepada kamu. Sekiranya kamu kufur, ingatlah bahawa azab-Ku amatlah pedih...' (Terjemahan surah Ibrahim ayat 7)

UPSR

Peperiksaan UPSR 2008..

Tarikh: 9, 10, 11 September 2008

Semoga para calon UPSR seluruh dunia amnya dan Malaysia khususnya dapat menjawab, menghadapi setiap pertanyaan bertulis berkenaan dengan;

i) Tenang;
ii) Yakin;
iii) Pasrah;
iv) Harap

Saya doakan kalian dapat menghadapinya dengan baik.
Mintalah restu ibu bapa dan guru-guru.

Wassalam...

Salam Kejayaan;
Cikgu Luqman Hidayat

Ibu Camelia @ Bu 'K'...

Selamat Datang ke blog saya wahai Ibu Kamaliah..
Kita jadi bloggers la plak ye ibu...

05 September 2008

Perginya Seorang A. Samad Ismail


Gambar sewaktu muda
(dipetik dari salah sabuah blog)
Tan Sri A. Samad Ismail
Tokoh Wartawan.
Tokoh Penulis Prolifik.
Tokoh Pejuang Kemerdekaan.
Allahyarham Pak Samad ialah salah seorang pejuang kemerdekaan yang sama-sama menentang penjajah pada zaman rakan-rakan seperjuangannya antaranya Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Pak Sako, Za'ba, dan lain-lainnya. Dan beliaulah yang masih dipanjangkan usia oleh Allah sehingga semalam.

Beliau banyak bercerita, berencana, menulis tentang perjuangan yang dibawa pejuang-pejuang sezamannya. Beliau cukup komited menentang perkara-perkara yang difikirkannya salah terutama perihal kebangsaan, kemerdekaan, dan agama contohnya dalam kes Natrah sehingga beliau dipenjara oleh British di Singapura.

Beliau juga seringkali masuk-keluar pintu penjara ekoran beberapa tindakannya yang bertentangan dengan fahaman politik kerajaan. Beliau berdarah pejuang, berurat wartawan, hanya menyebelahi mana-mana pihak yang dirasakannya sesuai dan benar.

Seingat saya, beliau kerapkali menyebut perkataan 'ye tak' apabila berbicara. Ilmunya luas, fikirannya jauh, ayatnya pedas, bahasanya indah. Ye lah, wartawan! Tokoh wartawan!

Antara yang saya ingat karangannya ialah Patah Sayap Terbang Jua.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham Pak Samad Ismail.

Al-Fatihah.

04 September 2008

At-Tin


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha pengasih.

1. demi (buah) Tin dan (buah) Zaitun;
2. demi Gunung Sinai;
3. dan demi Negeri (Makkah) yang aman;
4. sungguh, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya;
5. kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya;
6. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan; maka mereka akan mendapat pahala yang tiada putus-putus;
7. maka apa yang menyebabkan mereka mendustakanmu (tentang) hari pembalasan setelah (adanya keterangan-keterangan) itu?;
8. bukankah Allah hakim yang paling adil?

(Terjemahan Surah At-Tin)

Antara Ulat, Daun, dan Burung

Diceritakan orang-orang tua / orang tua-tua (?) tentang seekor ulat, sehelai daun, dan seekor burung yang masing-masing memainkan peranan bertolong bantu. Di sebalik cerita ini tersirat beberapa falsafah untuk sama-sama kita renungi.

Seekor Ulat

Seekor ulat yang menjalar di permukaan tanah yang luas tetapi memerlukan sedikit ruang untuk bergerak. Sang ulat ini perlu makanan. Makanannya hanyalah daun-daun dari sebatang pokok yang tinggi itu- suatu tempat jauh daripadanya dan mustahil untuk dicapai olehnya.

Sang ulat ini memerlukan bantuan daripada pihak lain bagi memuaskan nafsu makannya. Dia setiap hari akan berangan-angan memakan daun hijau di puncak pokok yang tinggi itu. Begitulah setiap hari, dia akan dibantu oleh sehelai daun yang sanggup berkorban dan seekor burung yang baik hati.

Sehelai Daun

Sehelai daun menghijau. Nampak bergaya di puncak pokok nan tinggi. Meneduhkan orang yang lalu lalang di bawahnya. Namun, jauh di sudut pandang kita, daun ini punyai empati yang tinggi. Ia, sehelai daun yang hijau, segarkan setiap mata memandang (ibarat anak dara yang nak disunting orang), sanggup mengorbankan diri untuk dimamah oleh sang ulat.
Seekor Burung

Burung yang terbang bebas di udara yang luas. Mana pergi, selalu jadi perhatian makhluk Tuhan. Namun, ia tidak lupa pada sang ulat yang memerlukan bantuannya.

Sang burung yang suka terbang bebas ke sana ke mari (ye ke?) tidak lupa pada pokok yang ada di bawahnya seekor ulat yang sering menonggu bantuannya.

Falsafah Kisah Ini

Pertama; Ulat yang malas dan tak mahu berusaha sendiri walaupun bagi mengisi kantung perutnya. Tidak tahukah ulat akan pesan Nabi bahawa 'tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima'?.
Kedua; Ulat yang punyai cita-cita besar -mahu menawan pokok yang tinggi dengan cita-citanya tetapi tidak pernah mahu berusaha dengan daya usahanya sendiri. Mengharapkan bantuan makhluk lain. Tidakkah sang ulat ini merenung seketika pada kata-kata pepatah Melayu 'usaha tangga kejayaan'!?
Ketiga; Sehelai daun yang sanggup mengorbankan dirinya demi kepentingan pihak lain yang tiada hubungan antara keduanya. Ia sanggup dimakan oleh sang ulat yang malas itu! Betapa besar jasa daun, tidak menghirau nasib diri.
Keempat; Seekor burung yang terbangnya tinggi di awan luas, bebas. Ia tidak pernah lupa pada sebuah tanggungjawab sosialnya -memberi makan pada sang ulat yang malas! Diambilnya sehelai daun dan diberinya kepada sang ulat tadi. Tidakkah sang burung ini tahu akan pepatah Melayu 'jika ada peminta sedekah datang kepadamu, jangan beri ikan, tetapi berilah joran, barangkali satu hari dia akan memberi pula hasil tangkapan kepada kita"!?

Pembaca budiman;
Marilah sama-sama kita renung pengorbanan setiap watak dalam kisah lama ini. Kita punyai banyak pilihan. Siapakah yang mahu kita turuti, samada menjadi sang ulat yang bercita-cita besar, mahu menawan sepohon pokok yang tinggi ke puncak dengan hanya berangan-angan tetapi sering mengharapkan bantuan pihak lain, atau menjadi seperti sehelai daun yang hijau dengan merelakan dirinya menjadi korban kepada seekor ulat bagi memenuhi hasratnya, atau menjadi seperti seekor burung yang sering membantu sebagai memenuhi tanggungjawab sosialnya meski diri agak tertekan dek ikatan atas nama besar 'tanggungjawab'!.

Benar. Sesungguhnya kita sedang dinilai oleh Allah tentang setiap amal kebajikan yang kita kerjakan. Namun, kita juga harus memberi peluang kepada manusia lain agar sama-sama mempertingkat serta melipatgandakan amalan dan kebajikan sendiri.

"Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan menerima (balasan)nya." (Maksud Surah Az-Zalzalah, ayat 7 - 8)

Wallah hu 'alam. Amin.

03 September 2008

Kebenaran

Setiap yang benar
betapa ditekan
tetap menjalar,
tanpa dibaja,
kan tetap mekar,
tanpa udara pun,
kan tetap segar ...

-A Samad Said


Keterangan:
Pada pandangan saya, bahawa kebenaran adalah daripada Tuhan Maha Agung. Alhaqqu mir rab bik! Dan betapa setiap kebenaran yang datang, walau dinafikan, ia tetap akan hadir sungguhpun seribu tahun lagi.

Bahawa kebenaran, betapa ia disembunyikan, betapa ia ditekan, betapa ia disekat, betyapa ia dipalsukan, namun ia tetap hadir suatu hari nanti.

Dalam sejarah, telah banyak kita pelajari daripada ia. Semua sejarah telah membuktikan yang benar itu akan menang. Ia hidup sepanjang zaman. Ia tidak mati sekerat jalan.

Yang benar itu, kalaupun disekat, ditukar sejarahnya, lambat laun ia akan terserlah akan kebenarannya.

Sebagai contoh, dalam cerita lama Hang Tuah. Difitnah sehingga membawa kepada pembunuhannya dek kerana terlalu setia dengan sang penguasa (Raja). Sang penguasa yang bertindak melulu tanpa membuat kajian terlebih dahulu sebelum bertindak lalu apabila datangnya orang-orang besar-besar kepadanya yang membawa berita tentang si Tuah, diperintahkan 'bunuh!!'.

Dan kita dapati, akhirnya kebenaran terserlah. Betapa ia disembunyikan hingga ke peringkat jatuhkan hukuman, ia tetap timbul. Hebatnya kuasa kebenaran!

02 September 2008

Debaran ...

16 september 2008
16 September 2008
16 SePtEmBeR 2008
16 sEpTeMBER 2008
16 SEPTembeR 2008
16 SEPTEMBer 2008
16 SEPTEMBER 2008

atau...

16 SEPTEMBERrrrrrrrr 2008

suatu debaran pastinya...

01 September 2008

Ramadhan Al-Mubarak

"Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)." (maksud surah al Baqarah: 185)
Tahun ini, Ramadhan datang lagi. Entah kali ke berapa kita telah menyambut Ramadhan yang dikatakan mulia itu. Entah berapa kali juga kita telah berjaya menyambut Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Entah kali ke berapa amalan kita dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini diterima dengan sepenuhnya.


Sesungguhnya, Ramadhan mengajar kita erti kesamarataan dalam kehidupan bermasyarakat. Kita dapat menyelami kehidupan umat manusia yang lainnya barangkali lapar dahaga melalui berpuasa di siang hari, perlu pertolongan harta benda melalui berzakat, beribadah dan sebagainya.


Ramadhan sebenarnya bukan sekadar dihiasi dengan ibadat puasa iaitu menahan diri daripada makan atau minum semata-mata, tetapi ia mempunyai makna lebih besar daripada itu. Jika dikatakan bahawa Ramadhan ini bulan berpuasa, bulan lain juga sebenarnya boleh berpuasa. Tetapi Ramadhan datang sebagai madrasah atau sekolah mendidik umat manusia agar sama-sama bertolong bantu kepada mereka yang lebih memerlukan, mendidik manusia agar merebut segala ganjaran pahala yang melimpah ruah, mendidik umat manusia supaya sama-sama merasai kesempatan nikmat bulan yang datang setahun sekali.


Rasul SAW pernah bersabda, mafhumnya;
"Orang yang sembahyang pada bulan Ramadhan, tiap sekali sujud dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan dan dibinakan rumah di dalam syurga daripada permata. Bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 70 000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina pula sebuah mahligai baginya."

Ramadhan juga bulan yang mengajar kita erti keinsafan. Kita menginsafi para sahabat kita yang jauh lebih perit dalam menempuh kehidupan mendatang. Kita juga didik supaya turut sama menginsafi mereka yang tidak berupaya. Barangkali ada antara mereka yang sangat memerlukan bantuan, datangnya Ramadhan bulan untuk umat bersedekah menabur bakti membantu mereka melalui amalan berzakat yang diwajibkan pada bulan ini. Sehubungan itu, nasib umat Islam bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai yang sedang dalam bahaya tidak harus kita lupa.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, bermaksud; "Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sepertimana telah diwajibkan kepada orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mudah-mudah kamu bertaqwa."

Dalam ayat ini, Allah menyeru kepada hanya orang-orang beriman sahaja yang diwajibkan berpuasa. Ini memberi makna kepada mereka yang beriman, mereka pasti akan menunaikan ibadat fardu ini. Kedua, amalan berpuasa ini mempunyai objektif khusus, iaitu seperti disebut dalam ayat terakhir ayat tersebut, mudah-mudahan kamu bertaqwa. Diharapkan setelah selesai melakukan amalan fardu ini, seseorang itu akan terus bertaqwa kepada Allah Taala.


Sidang pembaca budiman;
Ramadhan: padanya ada rahmat, keampunan, dan nikmat. Bulan ini, bulan berpesta pahala dengan sepuas-puasnya. Pahala yang digandakan lebih daripada bulan-bulan lain.

Antara keistimewaan bulan Ramadhan ini;
  • diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk;
  • diampunkan dosa sesiapa yang berpuasa;
  • dibuka pintu Syurga, ditutup pintu neraka;
  • dirantai segala syaitan;
  • dipermulaannya rahmat, kemudian keampunan, dan pembebasan api neraka;
  • setiap kebajikan akan diberi pahala sebanyak 10 hingga 700 ganjaran;
  • adanya malam lailatul qadar yang mulia melebihi kemuliaan seribu bulan;
  • puasa sebagai perisai dari api neraka; dan
  • puasa dikira ibadah setiap saat iaitu dari pagi hingga petang selagi tidak mengumpat atau menyakiti muslim lain.
Oleh itu, marilah sama-sama kita mengambil iktibar dengan penuh rasa keinsafan sempena kedatangan Ramadhan yang mulia ini. Banyakkanlah doa agar kita dan umat Islam seluruhnya sentiasa bersemangat untuk menghadapi hari-hari muka dengan labih baik. Kedatangan Ramadhan tidak seharusnya dianggap sebagai kelemahan akibat daripada manahan diri daripada lapar dahaga, tetapi seharusnya ia menjadi pembakar semangat fizikal dan mental seperti yang berlaku pada peperangan Badar.

Peperangan ini telah berlaku dalam bulan Ramadhan, dengan penyertaan tentera muslim hanya seramai 12 000 orang bertempur dengan tentera musuh sehingga mencapai bilangan 90 000 orang tentera. Menakjubkan tentera Islam yang sedikit bilangannya itu menang menewaskan majoriti bilangan tentera musuh. Allahu akbar!


Sidang pembaca budiman;

Dengan rasa hormat, saya mengucapkan Salam Ramadhan Mubarak kepada muslimin dan muslimat dan kepada para pembaca budiman sekalian. Semoga ibadah puasa dan segala amalan sampingan yang dikerjakan kita pada kali ini menjadi ibadah terbaik daripada yang terdahulu.


Salam Ramadhan al-Mubarak al-Kareem

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...