MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

09 May 2009

sebuah memori orang berjasa – Ghafar Baba



Pemergian Tun Ghafar dirasai dunia. Perginya bukan sebagai seorang tokoh politik. Bukan juga sebagai pejuang terkemuka atau pemimpin ternama. Tetapi perginya Tun Ghafar sebagai ‘orang berjasa’.

Jasanya pada tanah air kita. Beliau antara orang yang menjayakan pengisytiharan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman setelah pulang dari England untuk mendapat persetujuan British supaya Malaya menjadi sebuah negara merdeka pada tahun 1957. Perisytiharaan tarikh kemerdekaan diumumkan di Padang Bandar Hilir (kini Padang Pahlawan), Melaka pada 20 Februari 1956.

Beliau dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Pada 18 Februari 1925, Baba bin Abdullah dan isterinya Saodah bt. Salleh mendapat cahaya mata keenam. Namanya Ghafar.

Baba seorang penoreh getah dan kadangkala mengambil upah membawa kereta lembu manakala Saodah pula mengutip damar untuk dijual di Stesen Keretapi Kuala Pilah. Ghafar mempunyai sepuluh orang adik-beradik tetapi kebanyakannya mati sewaktu kecil akibat cengkaman kemiskinan yang tebal.

Ibu Tun Ghafar telah dijemput menyahut seruan Ilahi setelah melahirkan anak yang kesepuluh. Hidup mereka sekeluarga bertambah perit. Empat tahun kemudian, bapa yang mengambil alih tugas sebagai ibu juga mengikut jejak langkah isterinya. Hidup mereka sekeluarga bertambah payah. Ibarat untung tidak dapat diraih, malang tidak dapat ditolak. Nasib yang tidak dapat diubah lagi.

Mereka adik-beradik terpaksa berpindah ke Sungai Udang, Melaka untuk tinggal bersama-sama bapa saudara di sana. Tun Ghafar tidak mengikut adik-beradiknya yang lain ke untuk tinggal bersama-sama bapa saudara mereka di Melaka. Beliau memilih untuk terus tinggal di Kuala Pilah karana mahu sentiasa dekat dengan kubur ibu bapanya. Beliau akan ke tanah perkuburan pada setiap pagi Jumaat.

Setelah empat tahun bersendirian di Kuala Pilah, Tun Ghafar terpaksa juga beralih angin ke Melaka bersama-sama adik-beradiknya yang lain.

Semasa kecilnya, Tun Ghafar pernah bekerja sebagai penjaja nasi lemak dan kuih-muih, pernah juga menjadi pemungut bola tennis dan bola golf. Beliau pernah menjadi pemungut bola golf kepada Tunku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang Dipertuan Agong yang pertama. Pernah juga Tun Ghafar menjadi pemungut bola golf kepada Guru Besar Tuanku Muhammad School bernama Tuan White. Sewaktu Tun Ghafar menjadi Ketua Menteri Melaka, beliau dijemput melawat ke England. Sewaktu di sana, Tun Ghafar menjadi tetamu khas kepada Tuan White yang telah menjadi principle di Brinsford Lodge, London. Kata orang, tuah kerbau gemuk, tuah lombong berisi, tuah ayam di kaki. Siapa sangka? Semasa belajar di maktab, beliau menjual buku-buku secara sambilan untuk menampung kehidupannya semasa belajar. Barangkali juga, Tun Ghafar mengambil prinsip hidup ‘biar buruk kain dipakai, asal hidup pandai berbudi’.

Tun Ghafar pernah menjadi guru lulusan Sultan Idris Training College, Tanjung Malim. Dari situlah bakat kepemimpinan beliau terserlah. Beliau bersama-sama rakan-rakan berjuang untuk kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau pernah mencuri keluar pada waktu malam untuk mendengar ceramah Dr. Burhanuddin, Presiden PKMM. Beliau juga dilantik menjadi Ketua Penuntut SITC. Atas kapasiti inilah, Tun Ghafar meniup semangat nasionalisme dalam kalangan penuntut bagi meneruskan perjuangan dalam politik apabila pulang ke negeri masing-masing.


“Setiap yang hidup pasti menemui kematian”. [surah Ali-Imran]
23 April 2006, seruan Ilahi menjemput pemimpin berjasa kepada kita menghadap-Nya. Dengan penuh keredhaan, seluruh rakyat Malaysia tetap berduka dengan kepergiannya.

Kepada Allahyarham Tun Ghafar;
Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kasih sepanjang zaman.

Ayam rintik di pinggir hutan,
Nampak dari tepi telaga,
Nama baik jadi ingatan,
Seribu tahun terkenang jua.

Kuning emas masaknya padi,
Mawar merah dalam jambangan,
Terima kasih daun keladi,
Budi Tuan jadi kenangan.


AL-FATIHAH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...