MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

09 May 2009

buat mamaku yang kukasihi


Dalam dunia ini, kita pasti akan rasa paling selamat apabila berada dekat dengan ibu. Kita akan merasai sangat senangnya hidup apabila berada bersama-sama seorang manusia bernama ibu. Kita akan merasai betapa hidup ini indah jika sentiasa di sisi insan bernama ibu. Sewaktu kita sakit, ibulah yang ubati. Sewaktu kira tangis rajuk, ibulah yang pujuk. Paling penting, sewaktu tiada duit, ibulah tempat kita rujuk!!

Perasaan itu tidak dapat kita rasai sepenuhnya jika insan bergelar ibu berada di samping kita tetapi ia akan paling dirasai sewaktu mereka tiada di sisi.
10 Mei ini, adalah sebuah dedikasi dunia terhadap golongan ibuan (ibu) bagi menghargai jasa dan sumbangan mereka. Bukanlah hari ibu ini diisytiharkan bagi mengenang jasa ibu pada hari berkenaan sahaja, tetapi ia sekadar menyedarkan kita betapa dunia pun menghargai ibu. Bagi kita seorang anak, harus menganggap setiap hari adalah hari ibu.
Tugas ibu, bermula dari bayi lagi sehinggalah setiap alam perubahan, ibu masih relevan. Hendak kahwin pun, ibulah paling sibuk.

Kepada ibuku yang kupanggil mama, selamat hari ibu untuk 10 Mei ini dan selamatlah mama tiap-tiap hari. Kami sekeluarga menyayangimu lebih daripada apapun....

Kata Rasulullah SAW, di bawah tapak kakimu adalah syurga yang mulia. Betapa sesungguhnya syurga itu berada di bawah tapak kakimu. Barangsiapa yang enggan mengakui kemuliaanmu nescaya manusia itu tiada layak akan dia berada di bawah tapak kakimu.

Saya pernah dengar sebuah cerita. Seorang tua lingkungan 80-an sedang sakit. Ibunya dipercayai telah lama meninggal dunia memandangkan umurnya pun sudah terlalu labuh. Sewaktu sakitnya datang, orang tua itu menjerit sekuat hatinya tanpa rasa malu dan segan. Antara ayat yang dijeritnya dengan tangisan syahdu dan nada berharap; "mak, tolong mak. Sakit ni...Mak... Mak... Mak... Tolong..." Maknanya, walaupun orang tua itu telah lama tiada merasai kasih ibunya, tetapi dia tetap berharap ibunya membantu.

Masih saya ingat antara dialog dalam filem lama bertajuk 'Ibu' lakonan M. Jamil dan beberapa nama lagi. Abang M. Jamil telah menjadi kaya dan tinggal di kota lalu melupai ibunya. M. Jamil masih berjiwa mulia. Bertemulah si abang dan M. Jamil, lau dituturkan ayat ini; "kau lihat, aku punya mobil besar, rumah besar di kota. kau di sini apa ada?". Jawab M. Jamil yang menyentuh perasaanku, "AKU ADA IBU..."

Ibu, ibarat malaikat kecil yang paling hampir. Dia terbang rendah, berlegar di sekeliling kita. Dialah pendengar, dialah pemberi, dialah penenang, dialah pejuang. Allah maha mengetahui.

Banyak kita dengar kisah tentang anak derhaka terhadap ibunya. Marilah sama-sama kita hindari dan mengawasi diri kita agar tidak tergolong dalam golongan mereka yang derhaka dan melupai ibu. Sesungguhnya derhaka kini terdapat dalam pelbagai versi, derhaka Tanggang sudah berlalu. Kini, derhaka moden pula menanti. Awasilah diri kita. Hargailah ibu.

Tanpa insan bernama ibu, sesungguhnya tiadalah bermaknanya sebuah kehidupan ini....

Ya Allah, ampunilah mamaku...Amin



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...