MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

17 May 2009

Selamat Hari Guru

Kutinggalkan sebuah tatapan buat semua;
Terindah daripada Pak Samad...

OBOR HEMAH

Guru adalah awan Indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut,
merangsangkan manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru adalah batin suci hati nurani,
penjunjung budi,
manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. Samad Said
2 April 1988


nota kaki;
Puisi ini pernah kudeklamasikan di Dewan Za'ba, Institut Bahasa Melayu Malaysia (IBMM), Kuala Lumpur semasa Majlis Konvokesyen Pelajar IBMM Tahun 2002. Aku digandingkan bersama seorang guru wanita dari Sabahan (tapi kulupa namanya...). Suaranya hebat, gemanya menceringkan romaku..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...