MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

17 May 2009

Jasa Guru Tiada Timbangan...

Cikgu-cikguku yang kuingati;
Terima kasih kerana jasa kalian untuk sudi menuangkan sedikit ilmu yang memberiku faham tentang dunia dan kehendaknya, tentang manusia dan kemanusiaannya, tentang manusia dan kebinatangannya, tentang haiwan dan kemanusiaannya, tentang haiwan dan kebinatangannya, tentang alam dan keperluannya, dan tentang semua yang berkaitan.
Sehingga kini, aku masih berguru, kerana berguru itu tiadalah penghujungnya. Ilmu tiada pada seorang guru, dan tiada juga sehingga beberapa jangka masa. Makna memiliki ilmu sebenarnya ialah semakin dimilik, semakin ia bertambah, semakin kita sedar ia masih banyak yang kurang dan perlu dicari.
Cikgu-cikguku yang kukasihi;
dari aku mula bersekolah tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, maktab, universiti, kampung, bandar, desa, kota, taman, dan di mana-mana sahaja;
Terima kasih atas budi dan jasa kalian.
Tanpa kalian, maka dunia ini tiadalah bererti.
Mari sama-sama kita hayati sebuah pantun lama enam kerat tentang guru.
Penakik pisau seraut,
Ambil galah batang lintabung,
Seludang dijadikan nyiru,
Setitik dijadikan laut,
Segumpal menjadi gunung,
Alam terbentang menjadi guru.

Puisi lama ini mengingatkan kita tentang sumbangan para cerdik pandai yang boleh mengubah suasana daripada yang kecil kepada yang besar, yang mundur kepada yang maju, yang cemerlang kepada gemilang dan menjadi terbilang, serta mengambil alam ini sebagai iktibar dan tamsilan kepada kehidupan. Alam sekeliling diberi makna oleh insan bernama guru.

Insan bernama guru merupakan tonggak utama negara yang mampu menjana pembangunan insan yang akan menerajui negara pada masa depan. Guru pada masa ini bukan sekadar mengajar dan menyampaikan ilmu dalam bilik darjah semata-mata, tetapi lebih daripada itu guru bertanggungjawab mendidik dan membimbing serta berusaha melahirkan modal insan yang gemilang dan dapat memenuhi aspirasi negara.
GURU PEMBINA NEGARA BANGSA
Terima Kasih paling dalam buat cikgu...
Maafkan saya, cikgu...
Halalkan ilmu saya, cikgu...
Doakanlah akan saya, cikgu...
Selamat Hari Guru, cikgu..
Salam Hormat;
anakanda LUQMAN HIDAYAT

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...