MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

30 July 2008

Isra' Mikraj

Peristiwa Isra' dan Mikraj akan disambut oleh umat Islam seluruh dunia. Peristiwa agung ini ada dicatatkan dalam ayat pertama surah al-Israk. Peristiwa ini sangat penting bagi menilai keimanan dalam proses mentarbiah, merawat kiwa hamba manusia kini.

Mengingati maksud Surah Al-Isra' ayat pertama bermaksud;
Maha suci Allah, yang memperjalankan hambanya (Muhammad SAW) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang penuh keberkatan, bagi menunjukkan ayat-ayat Kami, sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha melihat.

Israk dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah s.a.w. Ia juga dianggap salah satu komponen daripada 'Sirah Nabawiyyah'.

Peristiwa tersebut memperlihatkan kekuasaan Allah menggerakkan seorang hambanya (disebut hamba sebagai mengangkat dan mengiktiraf Muhammad SAW sebagai orang paling dekat dengan-Nya) dari satu tempat ke satu tempat yang jaraknya ribuan batu kilometer dalam satu malam.

Isra' bermaksud perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, dan Mikraj pula bermaksud perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratul-Muntaha.

Perjalanan Nabi SAW ke sana dengan menaiki kenderaan lebih baik dari Mercedes Benz (dan sudah tentunya lebih baik dari Perdana V6!). Tidak memerlukan penjagaan yang serius atau mahal. Burung Burak namanya. Kenderaan dari syurga. Lajunya 600 tahun perjalanan.

Mimpikah Nabi? Tidak!! Kerana dalam ayat tersebut 'memperjalankan hambanya dari ...' bermakna, hamba itu dibawa bukan bermimpi.

Dan bergerak pula ke angkasa, menjejak bintang, melihat peristiwa lama dulu. Berjumpa Masyitah si tukang sikat anak Maharaja Firaun, bertemu nabi Ibrahim, mendapat perintah syariat solat, dan berbagai-bagi lagi.

Juga bertemu seorang perempuan tuan yang bongkok, bermaksud dunia kita yang sudah terlalu tua. Peristiwa itu berlaku kira-kira 1 400 tahun dahulu. Apakah wanita tua itu masih berjalan terbongkok-bongkok? Tidakkah berhenti berjalannya wanita tua itu? Ertinya bumi sudah TERLALU hampir dengan kiamatnya.

Peristiwa isra' mikraj.

Anehnya, berlaku dalam satu malam! sekitar 12 jam..Bermula pada selepas isya' hingga sebelum subuh.

Peristiwa ini bukan sahaja menunjukkan kekuasaan Allah, tetapi lebih penting perkara selepas itu. Menilai kepercayaan dan aqidah umat pada masa itu. Kumpulan pendengar sewaktu Nabi menceritakan hal itu, terbahagi kepada tiga;
i) Yang percaya sungguh-sungguh;
ii) Yang menentang sungguh-sungguh;
iii) Yang kurang pasti, agak-agak, atas pagar.

Selepas pulangnya Baginda SAW, Baginda menyendiri seperti punyai masalah. Pada waktu itu datanglah seorang lelaki namanya Abu Jahal.

Abu Jahal seorang bukan Islam, dan memusuhi dengan Nabi. Tetapi, anehnya Baginda Nabi menceritakan perkara pelik ini kepada Abu Jahal. Persoalannya, mengapakah kita perlu bercerita sesuatu yang jauh dari jangkauan manusia kepada orang-orang yang sukar dipercayai? Apakah Nabi silap?

Tidak! Falsafahnya ialah bahawa ajaran Islam hendaklah disampaikan kepada seluruh umat manusia (bukan sahaja umat Islam) tanpa mengira kedudukan, kepercayaan agama, darjat, dan di mana sahaja.

Kesan selepas Nabi menceritakan kejadian itu kepada Abu Jahal, Abu Jahal lantas mengumpulkan seluruh umat Mekah di sebuah kawasan lapang di padang pasir (lebih kurang stadium kalau sekarang ini).

Berita pengumuman ini tentunya mendapat sambutan luar biasa kerana ia sesuatu yang menakjubkan. Saya kira, kalau ada zaman itu surat khabar atau media televisyen, nescaya mendapat liputan luar biasa!

Baginda Nabi memulakan ucapan lebih kurang begini; Tuan-tuan, jika aku katakan ada segerombolan musuh di belakang bukit sana sedang hampir menyerang kita, adakah tuan-tuan percaya? Jawab mereka, sure..sudah tentu kerana engkau tidak pernah berbohong..engkau ya Muhammad tidak pernah menipu..engkau kan Al-Amin!

Jadi, jika aku katakan bahawa malam tadi sesudah isya' , aku ke Masjidil Aqsa dan terus ke angkasa. Pulang ke Masjidil Haram pada sebelum subuh tadi. Percayakah kalian?

Pada sebelum ini mereka beramai-ramai mengakui dan membulatkan kepercayaan pada kata-kata Nabi, tetapi setelah penceritaan tentang Isra' Mikraj, maka kumpulan audiens tadi berpecah kepada 3 iaitu percaya penuh dan yakin, percaya tanpa yakin, dan tidak percaya malah menentang.

Sesungguhnya, yang percaya penuh dan yakin dengan kata-kata Nabi, maka mereka terus beriman dan Islam.

Abu Bakar as terus terang menyatakan kepercayaan kepada kata-kata Nabi.

Manakala saudara Abu Jahal pula terus terang menyatakan ketidakpercayaannya kepada pernyataan Nabi ini. Lalu dikatakan Abu Jahal menggenggam kedua-dua belah tangannya sambil berkata, celakalah kau wahai Muhammad, celakalah kau sepanjang hari...

Dalam masa yang sama, Allah menurunkan wahyu dalam surah khusus ditujukan kepada Abu Lahab iaitu surah al-Lahab..Tabbat ya daa abi lahabiu watabb..kira-kira bermaksud, celakalah kau wahai Abu Lahab, celakalah kau! -

Peristiwa Isra' Mikraj ini merupakan peristiwa penting dalam Islam. Falsafah besar dalam peristiwa ini ialah menuju kejayaan dunia dan akhirat, atau menuju akhirat melalui penguasaan dunia (tanpa melupakan dunia).

.........................................................................................................................................................................

Pengajaran penting daripada Israk dan Mikraj;
(dipetik dari laman web hrkhd.net)

Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?

Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para Anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama surah al-Israk.

Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para Anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.

Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini.
Justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat.

Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas.

Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...