MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

01 June 2009

Merakyatkan Budaya Ilmu

Islam menggalakkan umatnya sentiasa menitikberatkan ilmu dalam kehidupan; bahkan mencari ilmu itu suatu kewajipan kepada umat Islam seperti dimaksudkan dalam sebuah Hadis baginda SAW:
'Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap manusia Islam'.

Menitikberatkan perkara menuntut ilmu itu merangkumi kajian, penelitian, penyelidikan, penerokaan, melayari segala ilmu dan maklumat demi memanfaatkan kehidupan.
Tanpa ilmu, seseorang itu akan samada ditinggalkan oleh manusia terbanyak yang semakin hari semakin bergerak pantas ke hadapan atau ditinggalkan oleh dunia dan akhirat juga. Seperti sabda Nabi SAW bererti;
'Barangsiapa yang mahukan dunia, hendaklah dengan ilmu; Barangsiapa mahukan akhirat, hendaklah dengan ilmu; dan barangsiapa mahukan kedua-duanya, hendaklah juga dengan ilmu'.



Hadis ini jelas kepada kita bahawa dalam apa jua keadaan, di mana jua berada, ilmu sangat relevan sepanjang masa. Kecemerlangan ummah dan pembinaan tamadun sesuatu bangsa bergantung pada sejauhmana penguasaan ilmu pengetahuan dicapai, dimiliki, dan kemampuan pencapaian ilmu pengethuan itu diterjemah melalui atau ke dalam penciptaan sesuatu barangan untuk diguna dalam dunia alaf moden ini oleh sesuatu bangsa itu. Penciptaan tersebut akan dinilai oleh dunia dan pengiktirafan sebagai penghargaan dan kekaguman dunia kepada pemilikan ilmu pengetahuan tadi.

[Dari sudut Malaysia, bangsa yang dimaksudkan dalam artikel ini bukanlah bermakna berlakunya pemisahan antara kaum di negara ini seperti Melayu, Cina, India, dan lain-lain tetapi bangsa dalam artikel ini dimaksudkan bangsa apapun tetapi melihat dari sudut pegangan agamanya. Kita tidak berhasrat membezakan Melayu, Cina, atau India dengan sifat kemelayuannya, kicanaannya, atau keindiaannya tetapi kita melihat dari sudut pemersatuan rohaninya.

Namun begitu, kita percaya masih ada lagi pada sesetengah kaum yang masih berpegang teguh pada kaumnya dan melihat kaum lain dengan seribu pengertian, prejudis, dan syak wasangka.]
Sesungguhnya, jika sesuatu bangsa itu tidak kira pegangan agamanya, berusaha untuk menerokai pelbagai bidang ilmu dengan bersungguh-sungguh, mengkaji, dan meneliti bidang tersebut, nescaya Allah akan mengangkat martabat bangsa berkenaan tanpa memilih kepada pegangan agama dan kepercayaannya.

Dalam Surah Al-Mujahadah, ayat 11, Allah berfirman dengan kira-kira bererti;
"Allah meninggikan darjat orang-orang beriman di antara kamu dan orang-orang diberikan ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu beberapa darjat. Dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Melihat kepada sejarah lampau, Islam banyak melahirkan tokoh-tokoh ilmuan dalam pelbagai bidang. Bidang-bidang yang diterokai itu ialah bidang-bidang utama kepada dunia hari ini termasuklah sains angkasalepas (astronomi) dan perubatan. Antara tokoh ilmuan Ilam terbilang ialah Ibnu Sina, Ibnu Rush, Al-Khawarizmi, Ibnu Battutah, dan beberapa nama besar lain lagi.
Sekadar menyebut nama empat tokoh ini, sumbangan mereka sudah mencakupi puluhan ribu tahun digunakan oleh manusia, dikaji sehingga ke hari ini. Empat nama tokoh ini sudah cukup menggambarkan penguasan ilmu itu bermula oleh orang Islam.

Hasil daya usaha tokoh-tokoh ilmuan Islam dalam pelbagai bidang ini telah diakui bahawa dunia Islam telah dan pernah menjadi pemangkin kepada zaman pembaharuan (Reinassanse) di Eropah yang akhirnya melahirkan tamadun manusia yang gemilang.

Dari sinilah, bangsa Eropah mengambil peluang untuk mempelajari dan menterjemahkan pelbagai jenis ilmu dari dunia Islam yang telah dihasilkan dan sehingga kini, bangsa Eropah telah mendahului dan menguasai ilmu-ilmu yang telah dicipta, dikaji oleh orang Islam.

Pembaca yang budiman;
Mari kta lihat ke dalam dunia kita tentang penguasaan dan penaklukan pengetahuan. Suatu waktu dahulu, orang Islamlah sebagai bangsa pencipta; sekarang kita sudah menjadi bangsa pengguna kepada ciptaan orang lain. Lebih memalukan kita, kita terpaksa berharap kepada bangsa lain untuk mengeluarkan sesuatu barangan. Tanpa sebuah bangsa pengeluar di negara kita, rasanya kita selalu berkata mereka tiada dapat keluarkan barang tersebut sehingga kita terasa payah dan melarat tanpa bangsa mereka.

Dan lebih malang lagi, kita tidak yakin dengan hasil keluaran bangsa kita sendiri. Kadang-kadang kita terlalu memperlekehkan hasil barang keluaran bangsa kita sendiri. "Tiada standard..." katanya. Kita sendiri yang cuba menjatuhkan hasil penciptaan bangsa kita sendiri. Marilah sama-sama kita renungkan.

Sidang pembaca budiman;
Dapat disenaraikan tiga penyebab utama yang membawa kita sebagai bangsa pengguna dan tidak lagi digelar bangsa berilmu atau sebab kita semakin mundur ke belakang tatkala bangsa lain menempa-nempa kecemerlangan berhari-hari. Tiga sebab ini bukan hanya untuk dibaca, tetapi sama-sama kita hayati, sedar, dan cuba diperbaiki.

Pertama; Kurangnya Kesedaran Berminat Membaca Bahan Bacaan Ilmiah
Membaca merupakan cara termudah dan menjadi sumber utama menambah, mencari,serta mendapat ilmu pengetahuan dan maklumat. Membaca, perbuatan yang diangkat dan diiktiraf oleh Allah seperti dalam firman-Nya melalui surah Al-'Alaq, ayat pertama hingga lima kira-kira beerti;
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakanmu....."

Dengan membaca, kita dapat mengetahui segala isi sesuatu negara yang jauh walaupun kita tidak pernah menjejak kaki ke negara berkenaan. Tetapi dengan membaca, kita mampu berhujah tentangnya seolah-olah kita pernah melihat dunia sana.

Membaca merupakan asas pergerakan pemikiran manusia dan pembuka minda. Seperti diterangkan atas, membaca ialah cara termudah untuk kita mendapat maklumat. Di sekeliling kita, banyak sekali bahan bacaan termasuk bacaan ilmiah seperti buku, poster, papan tanda, dan sebagainya tetapi mari kita renung dan bertanya, berapa ramaikah yang telah membacanya? Soalan ini tidak perlu dijawab, sekadar merenung seketika.

Kedua; Malas Berusaha
Sifat ini timbul dalam diri akibat daripada rasa cukup dan berpuas hati dengan keadaan diri. Kata pujangga "Jika kita tidak memiliki apa yang kita sukai, maka kita harus menyukai apa yang kita miliki" tidak harus difahamkan dengan berpuas hati keadaan semasa tetapi kata-kata pujangga berkenaan harus ditafsir apabila kita telah berusaha berulang-ulang kali untuk mendapatkan sesuatu. Barangkali ramai yang telah tersalah memaknakan falsafah pujangga ini sehingga dirasakan keadaan semasa sudah cukup untuk hidup seribu tahun lagi.

Renung pula akan Hadis Nabi SAW bermaksud kira-kira begini;
"Beribadatlah kamu seolah-olah kamu akan mati sekejap lagi dan berusahalah (bekerjalah) kamu seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun lagi."

Chairil Anwar, seorang penyair Indonesia yang terkenal itu, mengungkapkan dalam puisinya 'aku mahu hidup seribu tahun lagi....'.

Untuk berusaha dan bekerja, mahupun beribadah, kita harus membaca dan segera bangkit daripada lena yang mengasyikkan!

Sifat malas berusaha ini harus dikikis lekang daripada dalam diri semua manusia supaya bangsa kita serta umat seagama lebih maju ke hadapandan lebih berdaya saing.

Tun Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri pernah mengambil keputusan yang menyebabkan ramai orang Melayu khususnya pembangkang marah apabila membuka peluang untuk bangsa Cina dan India belajar di MRSM yang kita tahun telah dikhususkan untuk bangsa Melayu. Alasannya untuk mewujudkan persaingan yang sihat dan membangkitkan Melayu dari leka-lena.

Tahun 2008 menyaksikan pula Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim membuat cadangan serupa untuk membawa masuk pelajar daripada pelbagai kaum ke UiTM tetapi cadangannya ini mendapat tentangan hebat dan berdemonstrasi di merata-rata tempat. Mengapa pula cadangan serupa tidak dilayan dengan positif sedangkan matlamatnya sama seperti cadangan Yang Berbahagia Tun M? Satu persoalan!

Untuk menempa kejayaan dan kecemerlangan, sikaplah (attitude) paling penting untuk membawa diri mengikis sikap buruk dalam diri.

Ketiga; Tidak Memanfaatkan Masa
Allah bersumpah dengan masa menandakan bahawa peripentingnya masa dalam kehidupan.
"Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian..."

Kata pujangga;
"Tiga perkara yang datang dan ia pergi takkan berpatah lagi;Pertama; anak panah yang keluar dari busur;Kedua; peluang yang datang dan berlalu; dan Ketiga; masa yang datang dan berlalu pergi."

Lihat sahaja di sekeliling kita, ramai manusia tidak kira kanak-kanak, remaja, belia, dewasa, orang tua, orang veteran, orang pencen, janda, duda, anak dara, atau teruna dalam masyarakat kita terlalu banyak membuang dan membazirkan masa yang diumpamakan berharga seperti emas 916 itu. Kesannya kita meninggalkan perbuatan yang sepatutnya kita lakukan.

Bijak pandai manapun tidak mampu mengulang semula masa yang berlalu sesaat tadi dan perkara yang berlaku sesaat tadi sudah menjadi kenangan seumur hayat. Ia pasti tidak berpatah kembali. Peristiwa serupa sesaat tadi mampu berulang tetapi pada saat yang lain pula.

Apakah kita mahu dewasa dalam kerugian dan mendewasa dengan kerugian? Mahukah kita meneruskan tradisi kerugian ini?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...