oleh: Luqman Hidayat
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan; Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah; Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia; Yang mengajar manusia dengan pena; Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. (Surah Al-‘Alaq: ayat 1-5)
Surah Al-‘Alaq telah memberi asas ilmu, sains, dan teknologi secara langsung kepada umat manusia. Ayat tiga hingga lima memperlihatkan kepentingan sains dan teknologi kepada kita melalui penerokaan ilmu yang berkait langsung dengan kepentingan ilmu kepada umat manusia. ‘Pena’ yang dizahirkan melalui ayat berkenaan tidak sekadar sebuah pena yang terbatas fungsinya, tetapi ia merupakan sebuah bandingan oleh Allah untuk alat Sains dan Teknologi. Membicarakan soal ilmu Sains dan Teknologi, kita tidak wajar membina penghalang antara ilmu berkenaan dengan agama kerana sejak zaman Aristotle dan Plato lagi, mereka percaya bahawa ilmu Sains ini mempunyai kaitan langsung dengan satu kuasa yang ‘mengendalikan’ benda-benda Sains dan penemuan teknologi. Melalui ilmu ini misalnya, keajaiban yang diperolehi daripada pengamatan dan kajian terhadap angkasa lepas, cakerawala, dan astronomi oleh Profesor Dr. Bruno Guiderdoni, Pengarah Institut Angkasa Lepas Paris telah memberi cahaya Islam kepada beliau. Atas dasar kekagumannya itu terhadap penciptaan alam cakerawala yang terlalu sempurna, beliau telah memeluk Islam dengan mengguna nama Profesor Dr. Bruno Abdul Haqq Guiderdoni. Profesor Dr. Bruno Abdul Haqq adalah contoh terbaik untuk dijadikan hujah perbincangan kerana melalui pemerhatian, penerokaan, dan kajian-kajiannya, beliau mendapati ada hubungkait antara ilmu Sains dan Teknologi dengan satu kuasa pengendali (super power natural) yang maha hebat kerana berkemampuan mengatur perjalanan alam yang maha luas ini secara serentak, tersusun, dan bekerja mengikut aliran tanpa henti. Beliau percaya bahawa kewujudan alam berkenaan bukanlah suatu tempoh yang singkat tetapi telah memakan masa berbilion tahun lamanya.
Internet adalah salah satu bidang kecil dalam penemuan yang diperoleh daripada kajian ilmu Sains dan Teknologi. Perkembangan Internet di dunia hanya kira-kira 20 tahun diperkenalkan kepada masyarakat dunia. Riwayat hidup manusia dalam umur berkenaan hanyalah suatu permulaan yang muda. Sebaliknya, kuasa Internet dalam tempoh berkenaan telah mampu mengubah tamadun manusia sehingga menyebabkan banyak pekerjaan pada kurun ini tidak mampu berfungsi dengan biasa tanpa Internet. Budaya Internet hari ini sudah sebati dalam budaya kemanusiaan tanpa mengira agama dan bangsa.
Dalam era kebangkitan ilmu Sains dan Teknologi hari ini, kita telah dapat melihat bahawa dunia menjadi satu perkampungan yang kecil hasil daripada perkembangan Internet. Teknologi Tanpa Sempadan adalah kesan langsung daripada kebangkitan ilmu Sains dan Teknologi yang telah mencetuskan kuasa Internet yang semakin berkembang di negara kita. Perkembangan Internet telah memendekkan jarak masa dan jarak geografi yang selama ini menjadi penghalang kepada kelicinan dalam mengendalikan tugas seharian serta ia seolah-olah telah ‘menghilangkan sempadan’ antara sebuah negara dengan sebuah negara lain di dunia. Dalam erti kata yang lain, Internet sebenarnya telah berupaya memendekkan penggunaan masa yang panjang.
Dari perspektif Malaysia, Teknologi Tanpa Sempadan dapat dilihat sebagai ‘kemesraan penggunaan’ peralatan teknologi khususnya komputer dan jaringan Internet di semua tempat bukan sahaja terhad di dalam bandar malahan teknologi juga telah ‘dipaksa’ supaya menjadi lebih ‘mesra pengguna’ di kawasan-kawasan pedalaman. Masyarakat pedalaman dididik supaya menggunakan peralatan teknologi ini agar mereka tidak ketinggalan. Zaman ini, mereka yang enggan menggunakan peralatan teknologi akan berada pada tahap jauh ke belakang dan seolah-olah gagal untuk mengikut arus perubahan perkembangan dunia.
Kebangkitan ilmu ini sewajarnya diurus dengan baik melalui pembelajaran dalam bilik darjah. Justeru, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dan rangkaiannya diberi tanggungjawab besar untuk mengendali, mengurus, dan melaksanakan sistem pendidikan berbantukan ilmu Sains dan Teknologi ini supaya setiap pelajar dapat menggunakannya dengan lebih mudah sekaligus menipiskan fobia dalam kalangan pengguna terhadap penggunaan peralatan teknologi terkini. Sebenarnya, untuk menipiskan fobia dalam kalangan guru khususnya menjadi tugas yang mencabar buat BTP, BTPN, mahupun PKG kerana ia melibatkan psikologi yang telah lama bertapak di minda seseorang guru.
(Tulisan ini telah disumbangkan ke Buletin It-T-PEN, BTPN Kedah Siri 5/2011 sebagai keluaran Siri 1 dan akan bersambung Siri 2 pada keluaran berikutnya...Insya Allah...)
No comments:
Post a Comment