MEMBANGUN DIRI, MEMBANTU INSANmemberi makna pada kehidupan

21 January 2009

Bekuai yang kutinggalkan..









Pengalaman selama 3 tahun di SK Bekuai saya anggap sebagai sebuah aset bernilai untuk mara ke hadapan, mendepani cabaran mendatang.
Banyak perkara dapat diungkapkan dan dapat dikenang di SK Bekuai ini. Suka, duka, pahit maung, jernih, ceria semua ada!
Aku tinggalkan murid-murid yang kukasihi, dengan pesanan dan ingatan.
Aku tinggalkan kawan-kawan, sahabat handai dengan penuh kenangan.
Aku tinggalkan tugasan, dengan penuh pengalaman.
Terima kasih juga kerana memberi kepercayaan kepadaku untuk menerajui beberapa perkara untuk kulaksanakan. Sesungguhnya dengan kepercayaan yang diberi itu, aku bisa belajar banyak perkara, dan kutemui pelbagai ragam manusia. Ia sebuah pengalaman berharga!
Terima kasih juga memberi kemudahan yang pelbagai khususnya kemudahan kerjasama yang tinggi.
Terima kasih kawan-kawan kerana menjadi sebahagian daripada hidupku. Terima kasih juga kerana memberi ruang dan peluang untuk bersama kalian selama aku di sana. Aku terharu mengenangkan detik dan perkara bersama kalian. Kalian sangat terpahat di hati ini. Terima kasih.
Semoga hubungan kita tidak sampai hanya semasa sama-sama bertugas tetapi biarlah ia abadi. Hubungilah jika ada apa-apa berita kawan-kawan kita. Diriku sangat menghargai kalian!

Kupantunkan buat kalian;
Anak perempuan memasang dupa,
Dupa dipasang di ruang depan;
Kenangan dan jasa kalian kutak lupa,
Bagai paku lekat di papan.

29 December 2008

Kahwin!!?

Kahwin..?

Disember: bulan musibah?

Jika Ramadhan Al-Mubarak, diangkat martabatnya menjadi bulan penuh kemuliaan, bulan penuh kerahmatan, bulan mendidik umat manusia, bulan penyatuan umat Islam sedunia, bulan keampunan diri, bulan mencari cinta Pencipta, bulan penuh kegiuran dan sebagainya. Yang nyata, Ramadhan bukan bulan Disember!!

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai kejadian besar yang meragut nyawa ribuan manusia dan memusnahkan harta benda banyak berlaku di negara kita mahupun di seluruh dunia. Saya hanya fokuskan pada peristiwa hitam yang berlaku dalam negara kita - Malaysia.

22 December 2008

Operasi Tangkap Gajah

Pengalaman menyertai rombongan Pejabat Perhilitan Perak dan Unit Tangkapan Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang sangat bermakna.

Operasi tangkapan gajah liar di Hutan Bukit Sapi, Lenggong, Perak pada 5 Disember 2008 lalu merupakan pengalaman besar mengikuti operasi penuh cabaran terutama kesabaran. Apa tidaknya, membawa keluar gajah liar dari puncak hutan berkenaan memakan masa berjam-jam dan hampir 5km. Perjalanan dari jalan raya utama Gerik-Lenggong ke jalan masuk hutan ini kira-kira 7km.

Gajah liar berkenaan yang dinamai 'Minah Sapi' telah diiringi oleh dua ekor gajah pendenak iaitu Lokimala dan Che Mek. Dikhabarkan Lokimala dan Che Mek masing-masing berumur 70 dan 60 tahun. Lokimala sudah tua serta matanya rabun.

Rupa-rupanya, pakar psikologi gajah ramai terdapat di India. Beberapa peralatan kawalan gajah juga masih menggunakan nama dari India antaranya Gobti (dapat dibandingkan seperti stereng keretalah fungsinya). Bahasa Gajah juga banyak dari India seperti yang digunakan oleh pemandu gajah (lihat dalam video atas).

11 December 2008

Hirisan Daging Berkalimah




Di surau Kampung Luar, Mukim Siong, Baling pada hari raya Aidil Adha kedua.
Masya Allah.


Datuk R.I - sebuah pemergian terkesan






Apalah tanda batang tebu,
Batang tebu halus uratnya;
Apalah tanda orang berilmu,
Orang berilmu halus budinya.

Pantun ini mula saya kenal pada bulan penghujung tahun 2003. Pantun ini menjadi titik perkenalan dengan idola saya. Beliau menyebutnya berulang-ulang, terus berulang-ulang pada tiga empat majlis yang dihadirinya dan saya juga turut hadir hingga dapat mengingatinya terus ke hari ini.
Pertama sekali ketika ucaptama beliau dalam Seminar Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Maktab Seluruh Malaysia di Shah Alam. Seterusnya di Mandarin Court Hotel, Kuala Lumpur dan di majlis konvokesyen serta professional talk beliau di Institut Bahasa Melayu Malaysia.
Beliau ialah Datuk Razali Ismail, bekas Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia, bekas Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, KPM, bekas Pengarah Pendidikan Terengganu, dan bekas Pengarah Maktab Perguruan Batu Rakit, serta bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu.
Saya pernah menulis sepucuk surat peribadi sewaktu saya menjadi Bendahari Agung Kehormat, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, IBMM tahun 2004. Surat berkenaan saya nyatakan bahawa saya amat mengagumi beliau. Saya nyatakan juga tentang kerisauan saya berkenaan perletakan jawatan beliau sebagai Pengarah BPG untuk menyertai politik. Kebimbangan saya itu antara lain menyatakan bahawa lautan politik sangat bergelora dan saya kurang yakin untuk beliau memenangi kerusi mana-mana tempat kerana ribut politik 2004 sangat kacau. Namun surat saya itu tidak saya hantar! (sekadar menyatakan hasrat hati dan kebimbangan)
Seingat saya, pada 10 Mei 2004, beliau telah menghantar warkah kepada seluruh warga pendidik sewaktu perayaan sambutan Hari Guru Tahun 2005. Dalam warkah itu, beliau menyatakan bahawa lautan politik yang beliau ceburi sangat bergelora. Berada pada satu transitori yang berbeza, namun beliau akan meneruskan usaha-usaha memajukan pendidikan Malaysia sehingga beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran pada 2008. Saya sangat gembira mendengar berita pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Pelajaran kerana menganggap ia sebagai 'sirih pulang ke gagang'.
Teringat juga saya sekitar tahun 2005 dan 2006, pada dua hari raya Aidil Fitri. Beliau membalas kad selamat hari raya saya dengan menggunakan rubber stamp Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Beliau juga pernah membalas beberapa sms yang saya hantar kepadanya. Antara ayat terakhir dalam sms beliau ialah 'Jemputlah saya, inshaAllah saya hadir menyampai pesan'.
Saya terharu membaca majalah Ehwal Pendidikan (EP), menunjukkan gambar beliau sedang mengajar murid-murid dalam sebuah kelas. Begitulah jiwa seorang guru, ke mana pergi tetap berjiwa guru! Tindakan ini serupa dengan percakapan beliau semasa di mandari Court bahawa 'SAYA BANGGA MENJADI GURU'.

Amat mengejutkan kehilangan beliau dijemput Illahi secara tiba-tibanya sewaktu masih banyak projek pendidikan negara masih belum terlaksana, sewaktu masih ramai anak-anak pedalaman memerlukan bantuan, sewaktu negara menuju masa depan pendidikan yang semakin mencabar.

Suaranya, bahasa tubuhnya sewaktu berbicara, pandangan dan jelingannya, masih saya ingat dengan jelas. Beliau sangat selesa, rileks, sentiasa berfikir, ramah, menghormati semua orang pada setiap masa.
Beliau banyak mengeluarkan kata-kata daerah Terengganu sewaktu menyampaikan profesional talk-nya. Antaranya, tokse, cakna, dan lain-lain.

Teringat juga kepada ucapan Tun Dr. Mahathir pada Perayaan Hari Guru 2000; “Guru bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada murid tetapi bertanggungjawab juga kepada pembentukan peribadi murid iaitu nilai-nilai hidup yang dipegang olehnya dan budaya yang diterima olehnya.”

Beliau mengungkapkan kata 'akal budi' dalam ucapannya dan menekankan makna mendalam kata-kata berkenaan. Makna yang dapat saya tafsirkan daripada 'akal budi' yang sering diungkapkan oleh beliau ialah dengan ilmu, seharusnya kita dapat menilai baik buruk sesuatu, kerana pada ilmu itu sudah tersemat satu nilai yang mulia. Jika ada ilmu yang tanpa nilai moral, ia belum tentu dapat melahirkan komuniti yang baik. Dan nilai tanpa ilmu juga belum tentu dapat membentuk komuniti yang berjaya. Dapat saya hujahkah serta membuat konklusi daripada keseluruhan ucapan beliau yang pernah saya hadiri dan ikuti, seperti berikut;

Ilmu pada umumnya bermatlamatkan hasanah fid-dunya dan hasanah fil-akhirah. Mencari keuntungan di dunia dan keuntungan di akhirat. Ertinya konsep ilmu itu mencari sesuatu benda yang ternilai di muka bumi, diguna, diproses, dan digerakkan semasa hidup di dunia untuk dinilai di alam baqa’. Ilmu baik atau tidak baik bergantung pada cara proses dan pembawaannya.
Jadi cabaran dan tanggungjawab guru ialah menstabil dan mengklasifikasikan ilmu untuk dirinya dan diri murid terbanyak. Oleh itu, timbalah ilmu seberapa banyak hingga berpulang ke bumi lagi satu. Mencarinya dari al-mahdi (buaian) sampai ke al-lahdi (kubur). Pencarian tanpa mencicirkan nilai budi.
“Bertambah akalmu maka bertambah dekatlah engkau kepada Tuhanmu”
[Hadis Riwayat Abu Darda’]

Dengan kesedaran bahawa guru unggul pada ilmu, unggul juga pada nilai budinya mmpu meningkatkan kualiti dan martabat profesion. Mampu mengharungi gelodak dunia yang membara. Mampu merentas cabaran mendatang yang meruwatkan.

“Manfaat dan mudarat yang diperolehi manusia adalah hasil usahanya sendiri”
[Al-Baqarah, ayat 286]

Dalam bukunya, hasil ucapan-ucapan dan profesional talk telah didokumenkan oleh Bahagian Pendidikan Guru tahun 2004. Buke berkenaan bertajuk 'Menjentik Minda'. Saya sarankan seluruh warga pendidikan membacanya!

Sesungguhnya, pemergian Datuk ke rahmatullah sangat memberi kesan mendalam kepada dunia pendidikan dan secara peribadi, pemergian Datuk amat terkesan kepada saya.

Sesungguhnya, Datuk seorang yang berkaliber dan bersemangat tinggi dalam dunia pendidikan. Turut diakui oleh YB Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Hussin sendiri yang mengakui usaha-usaha Datuk dalam membangunkan pendidikan anak-anak pedalaman.
Sesungguhnya, warga pendidikan dan generasi akan datang kehilangan orang berwibawa seperti Datuk.Semoga roh Datuk diberi perlindungan dan rahmat oleh Allah.
Al-fatihah...

09 December 2008

Sungai itu Kehidupan

sungai itu
lekuknya bengkok
panjang dan deras
ikan-ikan, rumpaian, hujanan
teman perjalanan
ada sebatang balak tumbang

bedeburrr!!!

halangan perjalanan
namun perjalanan harus diteruskan

tanpa henti-henti
tanpa henti-henti lagi

deras dan menderas
tanpa berpatah kembali

suatu hari sungai itu
perlahan-lahan, per-la-han-lahan
ia berhenti jua
berhenti buat lamanya

sungai itu kehidupan!

Warkah Terbuka Buat Diana Danielle



5 Disember 2008

Saudari;
Sesungguhnya dunia mengetahui bahawa alam perkahwinan artis tempatan negara ini tidak menentu dan seringkali hujan pada tengah hari yang ceria - tidak seperti perencanaan, perancangan, serta upacara perkahwinan yang gah.

Percintaan. Perkahwinan. Kebahagiaan. Tiga elemen yang berbeza tetapi ia merupakan peraturan yang sewajarnya dialami oleh sesebuah perhubungan. Ia juga sangat berkaitan dan saling memerlukan. Tiga elemen ini dapatlah dinamai sebagai rantaian perhubungan.

Manusia biasa apabila telah mengalami perasaan rasa ingin dikasihi dan mengasihi sesama berbeza jantina adalah lumrah. Dan diciptakan manusia berbeza-beza jantina, fahaman, sukuan, bangsa, warna kulit, sifat, keadaan, dan perbezaan kecil antara manusia. Namun, itulah dikatakan unik apabila dua orang berbeza jantina, berbeza pendapat dan fahaman, atau warna kulit dan sifatnya, dapat bersatu sehingga tercipta pepatah ikan di laut, asam di darat, bersatu jua dalam belanga!

Inilah juga dikatakan sebagai cabaran setiap pasangan untuk mengadun semua elemen perbezaan tersebut bagi sama-sama menempuh alam perkahwinan dan akhirnya membawa kepada satu halatuju iaitu kebahagiaan.

Ketika alam percintaan, perkara biasa bagi pasangan berbeza pendapat sementara masing-masing memahami kehendak pasangan dan ketika menempuh alam perkahwinan juga akan ada masalah serupa. Masalah yang datang harus ditempuh dengan penuh keredaan dan kesabaran agar matlamat yang ingin dituju tercapai.

Saudari;
Saya membaca akhbar tentang saudari dan pasangan yang mempunyai masalah kecil tetapi menjadi besar apabila dihebohkan oleh akhbar dan lebih parah sudah akan menerima campurtangan daripada pihak berkuasa ekoran laporan polis yang dibuat.

Secara faktanya, masalah saudari dan dalam menghadapi kekasaran pasangan saudari pada hemat saya ialah masalah kecil, biasa, dan terpencil. Ia nampak besar apabila fakta yang sama telah dihurailanjut oleh para wartawan media dengan tanpa mengubah fakta berkenaan. Lebih parah dan masyur apabila pihak berkuasa menjaga keamanan telah menerima laporan tentang kekasaran yang dibuat pasangan saudari.

Tidak mengapa! Usaplah air matamu wahai Cik Diana Denielle...

Tuhan menciptakan manusia ramai, bersuku-sukuan, serta berbangsa-bangsa. Saudari seorang bunga yang memerlukan seorang kumbang. Saya yakin kumbang yang saudari cari ada menunggu saudari. Sesungguhnya kumbang ramai dan masih ramai yang berpotensi seperti kehendak saudari.

Dan saya masih boleh beri ruang!!hehehe...

p/s: Hanya sekadar sebuah santai dan gurauan - namun apa yang baik tidak salah diambil pengajarannya.

27 November 2008

Sejarah Zaman Bahasa Melayu Moden

oleh; Luqman Hidayat

Apabila melangkah masuk abad ke-20, banyak perubahan berlaku. Negeri-­negeri Melayu yang dahulunya masih bebas terpaksa tunduk di bawah kolonial Barat antaranya negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor mula ditakluki oleh penjajah Inggeris, manakala kerajaan Melayu Riau dihancurkan oleh Belanda. Pengaruh budaya dan tamadun Barat semakin kukuh. Dengan kekukuhan ini, dominasi penjajahan, budaya dan tamadun Barat berkembang di alam Melayu.

Bahasa Melayu dan bahasa-bahasa peribumi yang lain jatuh menjadi bahasa vernakular. Pendidikan Barat dikembangkan dengan mendirikan sekolah-sekolah berbahasa penjajah dan sekolah-­sekolah Kristian di merata-rata tempat di seluruh Nusantara; pegawai-pegawai penjajah disebarkan ke seluruh tanah jajahan bagi mengukuhkan kekuasaan penjajahan mereka. Bangsa Melayu menjadi anak jajahan sahaja.

Menurut rencana yang dipetik dari web www.ib.edu.my/bm-net/bahasa/perkembangan_bahasa_melayu menyatakan bahawa pada awal abad ke-20, penjajah Belanda mengamalkan Dasar Etika (Ethical Policy). Tulisan Rumi dipakai untuk bahasa Melayu dan dibakukan ejaannya. Setelah kerajaan Penjajah Belanda mengadakan sebuah Suruhanjaya iaitu Cominissie voor de Inlandsche School en Volkslectuur (1908) diketuai Dr. G.A.J. Hazeu. Pada tahun 1917 Cominissie itu diubah menjadi Balai Poestaka yang dipimpin oleh Dr. D.A. Ringkes. Balai Poestaka menerbitkan majalah bulanan Sri Poestaka (1918) dan Mingguan Pandji Poestaka (1923). Selain itu ia menerbitkan novel-novel seperti Azab dan Sengsara oleh Mirari Siregar (1920), Sitti Nurbaja oleh Luarah Roesli (1922), dan Salah Asoehan oleh Abdoel Moeis (1928).

Sejarah bahasa Melayu abad ke-20 di Malaysia mengalami beberapa tahap seperti Bahasa Melayu awal abad ke-20 dengan wujudnya Maktab Perguruan Melayu (1900, 1913, 1919) dan majalah al­-Imam (1906), kemudian muncul zaman SITC - Pejabat Karang Mengarang yang berpusat di Tanjong Malim (1922-1941), Bahasa Melayu Zaman Jepun (1942-1945), Bahasa Melayu Pasca-Perang(1945-1949). Bahasa Melayu Pramerdeka (1950-1957), Bahasa Melayu Pascamerdeka (1957-1969), Bahasa Melayu Pasca 1969, dan Bahasa Melayu Pasca 1980.

Dalam abad ke-20 Bahasa Melayu banyak berubah kerana pengaruh kolonial Barat dan juga pengaruh dan Asia Barat serta Jepun. Jumlah sekolah Melayu semakin bertambah banyak - berlipat-lipat kali ganda, maktab-maktab perguruan Melayu dibuka, majalah dan akhbar pelbagai jenis diterbitkan, buku-buku bacaan sekolah, buku-buku umum dan kitab-kitab agama dicetak sama ada di Malaya atau Indonesia. Bahkan ada yang dicetak di Bombay, Cairo, Mekah -Madinah dan Istanbul. Persatuan-persatuan penulis, persatuan-­persatuan kebajikan, kebudayaan, bahasa dan kesusasteraan serta politik tumbuh dengan subur walaupun ditekan dan dicengkam oleh penjajah yang memerintah dengan cara kuku besi.

Bahasa Melayu tetap terus berkembang. Perkembangan bahasa Melayu semakin pesat apabila negara-negara di Dunia Melayu mencapai kemerdekaannya - Indonesia (1945), Malaysia (1957), Singapura (1963) dan Brunei (1984).

Di Malaysia, apabila menjelang kemerdekaan terdirilah kelas-kelas menengah Melayu yang menjadi menengah Melayu, begitulah juga dengan terdirinya institusi-institusi yang lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, Maktab Perguruan Bahasa yang kemudiannya Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah menjadi puncak dasar pendidikan kebangsaan. Bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Melayu beberapa penyata, akta, dan penggubalan Perlembagaan Negara telah diluluskan seperti Penyata Razak (1956), Penyata Rahman Talib (1960), Ordinan Pelajaran (1957), Perlembagaan-­perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (1957) dan Perlembagaan Malaysia (1963), Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (1959 dan 1995), Akta Pendidikan 1961, Akta Bahasa 1963, Akta Bahasa 1967, Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971), Akta Universiti dan Kolej Universiti - Pindaan (1975), dan pelbagai akta yang lain termasuk Akta Pendidikan 1996.

Dalam abad ke-20 bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang moden kerana unsur-unsur moden sudah meresap ke dalam bahasa Melayu, banyak buku yang ditulis dan diterbitkan, banyak majalah dan akhbar yang dicetak dan diedarkan dalam pelbagai bidang dan jurusan bagi memenuhi keperluan orang Melayu dalam zaman moden ini. Perkembangan bahasa Melayu semakin pesat selepas negara ini mencapai kemerdekaannya, terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Buku-buku ilmiah banyak diterbitkan antaranya teks-teks pengajian tinggi, istilah-istilah banyak yang telah digubal, bahkan pada tahun 2000 ini sudah mencapai ke angka 1,000,000 istilah dalam pelbagai bidang ilmu. Selain itu bahasa Melayu juga menjadi bahasa pentadbiran di semua peringkat perkhidmatan awam, dalam mahkamah, dan di semua peringkat pendidikan.

Masyarakat Siam

oleh; Luqman Hidayat

ASAL USUL

Semua penulisan yang diketemui mengatakan bahawa orang Siam berasal dari kawasan tengah Asia yang membentuk negara Mongolia dan Cina hari ini. Phrarajphongsawadarn oleh Phrarajhatlekha, Phongsawadarnchatthai oleh Phra Boriharnthepthani dan Sejarah Asia Tenggara (1971) oleh D.G.E. Hall sepakat mengisahkan perihal tanah asal orang Siam di Asia Tengah.

Dipercayai bahawa sekitar 7000 tahun dahulu mereka mendiami kawasan pergunungan Altai (Mongolia) dan sekitar 2500 tahun kemudian berkembang hijrah ke selatan yang lebih subur dan membina penempatan kekal di lembangan sungai Hoang Ho dan Yang Tze Kiang kerana selain sebagai penternak nomad, mereka juga petani berkebolehan. Penempatan kekal telah mewujudkan puluhan negara kota orang-orang Siam seperti Sze Chuan, Cheang Tu, Hu Pe, Hu Nan, Auhui di wilayah Sze Chuan dan Kwang Chao di negara Cina hari ini.

Sama ada disebabkan bilangan penduduk semakin ramai atau pergolakan sesama sendiri dan tekanan orang Cina dalam rentetan sejarah yang panjang, orang Siam mulai bergerak turun ke selatan dari penempatan besar mereka di Chungking. Orang Cina sebelum ini hidup secara nomad mulai membina kekuasaan dan menekan pengaruh ke atas orang Siam. Pada beberapa peringkat dengan diketuai oleh raja-raja mereka, orang Siam dapat memperlahankan penghijrahan mereka ke selatan. Orang Cina, menggelar nama kerajaan mereka sebagai ‘Syamkok' atau Ailao. Dari nama ini barangkali kita mengenali orang Siam atau Lao.

Antara tahun 757 masehi, kerajaan Siam Nancao di wilayah Yunan, selatan Cina telah wujud sebagai sebuah empayar yang luas hingga ke Syam dan hulu sungai Irrawadi. Sedang lembah Menam Chao Phraya masih di bawah pengaruh Khmer mulai didatangi oleh beberapa gerombolan Siam dari Muang Se, Tong King dan Annam. Mereka menjarah lembangan Mekong dan menjadi penduduk tetap Angkor Wat. Pada abad-abad seterusnya, lembangan Sungai Ping, Wang, Yom dan Nan mulai menerima pendudukan Siam. Beberapa kerajaan kecil yang merdeka wujud dan Phayao, salah sebuah wilayah di Thailand hari ini telah wujud semenjak TM 1096, diikuti dengan negeri kota di Ciengrai, Ciensen, Ciengmai, Sua (Luang Prabang) dan lain-lain.

Penaklukan ke atas Nancao oleh Kublai Khan (TM 1253) telah merubah taburan penempatan orang Siam di kerajaan kecil di selatan. Sukhothai (wujud sejak TM 1238) dan Luang Prabang di lembah sungai U mulai berkembang membentuk empayar Lannathai, walaupun akhirnya Sukhothai lebih dikenali. Kehancuran Nancao turut mengecilkan perkembangan kerajaan Siam Ahom di Assam (India) tetapi menyemarakkan perkembangan mereka di Sipsong Panna dan Sipsong Cuthai.

Sukhothai dianggap mencapai zaman keemasan semasa pemerintahan Rama Khamheng dan orang Siam mengingatinya sebagai pengasas huruf tulisan bangsa ini. Perluasan empayar Sukhothai dipercayai hingga ke Hujung Tanah (Johor - Singapura) walaupun tidak ada bukti kuukuh. Namun begitu, kerajaan Lavo, Khamphengphet hingga ke Caiya dan Ligor di Segenting Kra dianggap sebagai sebahagian empayar tersebut.

Sewaktu Sukhothai meniti zaman kemerosotan raja U-Thong (nama Kerajaan) membina kota baru ‘Dvaravati Sri Ayudhya' di sebuah pulau di Sungai Chao Phara. Di sebelah Luang Prabang pula, Fa Ngum berusaha membina empayar Sejuta Gajah (Lan Cang).

MASYARAKAT SIAM DI MALAYSIA

Satu cara yang difikirkan paling sesuai dapat memperkenalkan masyarakat Thai ialah dengan mendefinisikan masyarakat Thai itu sendiri sebagai suatu entiti yang dikenali. Linguistik misalnya, ia seharusnya melangkaui penyediaan kamus bahasa semata-mata dengan merujuk kepada nada bunyi juga.

Kedua, daripada segi ethnologi dan folkloristik. Ethnik Thai merupakan penduduk minoriti di Malaysia. Sebagai komuniti kecil dan terpisah-pisah, mereka membentuk ruang sosial dan ekonomi tersendiri dan berbeza di utara Semenanjung Malaysia; Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, dan Terengganu.

Beberapa penulisan bersifat etnologi telah memberi maklumat berguna terutama adaptasi sosial dalam sekitaran sosio-budaya Melayu dominan. Antara pengkaji awal; C. Archaimbault, Louis Golomb, Mohamed Yusoff Ismail, dan Robert Winzeler. Satu perkara yang jarang disentuh, tetapi sering disebut dalam penulisan tadi, berkenaan asal dan masa etnik Thai ini mewujudkan perkampungan mereka.

Dewan Negara yang bersidang pada 3 Disember 2001 dimaklumkan bahawa terdapat seramai 50,211 orang penduduk keturunan Siam di negara ini. 38,353 orang merupakan warganegara Malaysia dan Laporan Banci Penduduk dan Perumahan (1991) mendapati jumlahnya 36,184 orang. Dari laporan tersebut didapati orang Siam mendiami negeri bersempadan dengan Thailand, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak. Pulau Pinang walaupun agak jauh sedikit tetapi kedudukannya sebagai zon perindustrian menarik minat penghijrahan mereka di samping terdapat penduduk Siam yang tetap, sama ada dari Kedah atau Thailand.

Secara umumnya mereka merupakan penduduk luar bandar, terutama di daerah Pendang, Baling, Padang Terap, Kubang Pasu dan Sik (Kedah), Tumpat dan Pasir Mas (Kelantan) serta Pengkalan Hulu (Perak). Kehidupan budayanya tidak banyak berbeza dengan saudara mara di Thailand (Selatan). Hampir keseluruhannya beragama Buddha, dilambangkan oleh biara (wat) dan para bikkhunya yang memakai jubah serba kuning dengan kepala digondolkan sebagaimana bikkhu pertamanya; Putera Sidharthak, pengasas agama ini dari Kabilavasthu (India-Nepal). Bangunan wat yang unik dengan ukiran seni tampak Siam merupakan satu citra/ imej tersendiri. Rupa bentuk ini perlu terus dipelihara dengan beberapa penyesuaian, mungkin reka bentuk tempatan, tulisan rumi dan bahasa Melayu.

Dari aspek 'pelancongan - budaya' (cultural tourism) orang Siam boleh dikenali daripada dialek bahasa (dialek Thai Ligor atau Che' He), pakaian, seni persembahan, beberapa simbol di sekitar kawasan kediaman - 'Kathiau' perkuburan atau 'bua', perayaan dan amalan adat. Seni persembahan yang masih diwarisi ialah menora, wayang gedek (nang talung), ram klongjau dan ramvong. Seni ini sering diperagakan sempena perayaan atau pesta tertentu - Loy Krathong, perasmian bangunan tertentu di wat-wat, sambutan kepada para tetamu/ pembesar, majlis perkahwinan atau di perayaan tahun baru; "Songkran".

BAHASA MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI

oleh YB Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim
[Disember 2004]

NEGARA TELAH melangkah ke alaf baru empat tahun lalu. Dan pada tahun 2020 Malaysia dijangka menjadi sebuah negara maju, meninggalkan tarafnya sebagai negara membangun. Perhitungan ini banyak disandarkan kepada pembangunan fizikal dan terlalu sedikit kepada asas-asas jiwa dan penjiwaan, kualiti hidup dan jati diri bangsa.

Kita, misalnya, sentiasa mengukur pencapaian mengikut KDNK, pertumbuhan ekonomi sebenar, ketinggian bangunan yang kita bina dan lain-lain pencapaian fizikal. Pada tahun 2020, iaitu sekitar 15 tahun dari kini tentunya serba-serbi berjalan pantas. Kehidupan masyarakat Malaysia, seperti yang diramal, akan dipenuhi pembaharuan demi pembaharuan. Teknologi informasi dan komunikasi pada masa itu akan secanggih mungkin. Cara hidup kita di Malaysia dan juga di merata dunia akan turut berubah.

Kita sedang diterap dan dicorakkan oleh nilai-nilai dan amalan dunia global dengan hebatnya. Segala macam ilmu pengetahuan akan lebih pantas diperolehi. Cara berfikir, cara bertindak dan cara hidup, semuanya akan berubah. Banyak penyakit yang tidak terubat pada masa ini mungkin beroleh penawar yang mujarab di zaman itu. Atau sebaliknya, masyarakat Malaysia, khususnya orang Melayu, akan lebih terdedah kepada unsur-unsur baru.

Melayu dan Bahasanya:Daulat atau Di-alat

DASAR BAHASA KEBANGSAAN

Bahasa Melayu diangkat martabatnya sebagai Bahasa Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu semenjak zaman kemerdekaan 1957. Menurut perkara 152 Perlembagaan Malaysia menetapkan yang bahasa Melayu akan mengambil alih bahasa Inggeris sepuluh tahun kemudian. Sewaktu zaman penjajah menjajah tanah ini, bahasa Melayu tidak diberi kedudukan penting kerana bahasa Inggeris telah dijadikan bahasa rasmi, bahasa pentadbiran, dan bahasa di pusat pengajian kecuali di dua buah pusat latihan guru iaitu Maktab Sultan Idris Tanjong Malim dan Maktab Perempuan Melayu Melaka. Bahasa Melayu hanya digunakan di sekolah aliran Melayu pada peringkat sekolah rendah sahaja.

Dalam keadaan demikian, pada waktu ditetapkan menjadi Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu adalah satu bahasa yang sebelum itu telah disekat perkembangannya. Ia adalah bahasa yang dinafikan dari menjalankan fungsi kenegaraan lebih-lebih lagi fungsi ekonomi dan sosial, intelektual dan kebudayaan.

Dengan kedudukannya yang baru sebagai Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi bahasa rasmi negara yang sepatutnya digunakan dalam urusan pentadbiran dan pengurusan awam, tetapi dengan terlancarnya Dasar Pelajaran Kebangsaan, menjadikan ia sebagai bahasa pengantar dan alat menyampaikan ilmu dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti dan institusi pengajian tinggi yang lain.

PERUBAHAN DAN PERKEMBANGAN

Sejak Kemerdekaan, Bahasa Melayu telah mengalami banyak perubahan. Perbendaharan katanya berlipat ganda. Gaya penyampaiannya disesuaikan dengan peranannya yang bertambah. Sistem ejaannya diperkemaskan supaya lebih sempurna dan teratur. Pendedahannya kepada beberapa bahasa lain yang menjadi sumber pengambilan berbagai ilmu moden telah meninggalkan kesan ke atasnya.

Demikian juga, dengan bertambahnya bilangan penutur bahasa Melayu yang tidak menuturkannya sebagai bahasa ibunda, maka berlakulah resapan pengaruh bahasa ibunda penutur itu ke atas bahasa Melayu.


Badan yang dipertugaskan khas untuk merancang dan memupuk kemajuan Bahasa Melayu ialah Dewan Bahasa dan Pustaka. Sejak ia ditubuhkan dalam tahun 1956, banyak usaha telah dijalankannya. Antaranya membentuk istilah baru, menetapkan satu sistem ejaan yang kemas dan teratur, menyediakan kamus menerbitkan bahan bacaan dalam bahasa Melayu, dan secara keseluruhan, menggalakkan penggunaan Bahasa Melayu yang baik. Semua aktiviti ini ditujukan kepada memenuhi matlamat menjadikan Bahasa Melayu yang moden dan sesuai untuk tugas yang harus dipikulnya sebagai Bahasa Kebangsaan Negara yang berdaulat.

BAHASA MELAYU KINI

Marilah sama-sama kita melihat dari sudut lebih luas dan lebih jauh, serta kita sama-sama renungi nasib sebuah bahasa milik orang Melayu yang suatu ketika dulu gah dimartabatkan sebagai bahasa utama negara setelah merampas semula tanah ini daripada penjajah! Marilah sama-sama kita lihat sepuluh tahun lagi nasib bahasa yang kita gunapakai hari ini. Mari kita bertanya dalam diri beberapa soalan;
i. Apakah akan ada lagi perkataan-perkataan seperti ‘hebat’, ‘bodoh’, ‘cantik, dll. Digunakan atau telah diganti dengan ‘great’, ‘stupid’, ‘beautiful’ etc.?
ii. Apakah masih bermakna penutur yang menuturkan perkataan dari bahasa Melayu ini atau diketawakan sahaja atau dibiarkan terpinga-pinga?
iii. Apakah akan disanjung orang yang menuturkan bahasa penjajah sedang bahasa ibunda dinyahsampahkan?
iv. Apakah masih wujud bahasa Melayu sepuluh tahun akan datang??

Kita lihat hari ini, mata pelajaran utama yang sukar telah ‘dipaksa’ mengajarkan menggunakan bahasa penjajah bagi mata pelajaran Matematik dan Sains. Sesetengah ahli akademik yang saya kira neutral sokongannya turut mempertikai tindakan ini kerana kajian mereka mendapati bahasa Melayu akan pupus jika ia berlarutan.
Selain keluhan para guru, tentunya murid-murid lebih sukar memahami apatah lagi mata pelajaran ini sangat kritikal.


PEMIMPIN

Saya mengagumi ramai pemimpin. Namun, didapati ramai pemimpin Melayu lebih lancar bahasa Inggerisnya berbanding bahasa ibundanya. Amat malang jika pemimpin yang kita sama-sama depankan mereka selangkah, yang sama-sama kita julang mereka sedepa telah membantu menidakkan keupayaan bahasa ibunda kita.

Seorang pemimpin utama dari China (kalau tidak silap saya) dalam satu lawatan ke negara ini, memberi ucapan di hadapan ratusan kenamaan. Menariknya, beliau menggunakan bahasa ibundanya dan tidak menggunakan bahasa Inggeris. Sekali imbas, nampak seperti pemimpin ini tidak bijak berbahasa Inggeris.

Sewaktu di meja makan, beliau menggunakan bahasa Inggeris dengan begitu baik dan lancar sekaligus menafikan bahawa beliau 'lekeh benar' kerana tidak pandai berbahasa penjajah atau tidak berucap menggunakan bahasa Inggeris.

Begitulah beliau menyanjungi bahasa ibundanya walaupun pada majlis besar! Kita?

23 November 2008

Barack Obama:Antara kejutan atau perubahan?

Sejak beberapa minggu dulu hingga hari ini, masih lagi akhabar tempatan (dan saya yakin juga akhbar luar negara) tidak lekang menulis berita kemenangan bakal presiden baru AS.

Kemenangan Barack Obama sebagai bakal menduduki kerusi Presiden AS -jawatan paling berpengaruh dalam dunia hari ini sangat mengejutkan dunia. Ia menandakan samada suatu kejutan yang ditunjukkan oleh para pengundi yang hanya mahu menyatakan bahawa di tangan merekalah kuasa dunia boleh berlaku atau mereka sangat mahukan berlakunya perubahan yang baik dan menjadi lebih baik.

Yang nyata, kejutan telah berlaku kerana Obama - seorang lelaki berkulit hitam - yang tidak pernah terjadi dalam sejarah AS, kulit jenis ini menduduki Rumah Putih.

Masyarakat AS juga menyatakan bahawa mereka mahukan CHANGE, perubahan. Tentunya perubahan yang dikehendaki ialah daripada buruk kepada baik atau daripada baik kepada lebih baik dan lebih baik.

Banyak juga fakta menarik tentang kemenangan yang dicapai Obama. Beliau merupakan Presiden Pertama yang berkulit Hitam dalam sejarah negara Amerika Syarikat. Obama, 47, merupakan Presiden termuda yang diangkat sebagai orang no-1 Amerika Syarikat dan Senator yang paling pantas menjadi Presiden dengan hanya mengambil masa 4 tahun.

Obama mencatat sejarah sebagai Presiden Amerika pertama dari parti Demokrat yang berjaya memperoleh undi popular melebihi 50% sejak kali terakhir dilakukan oleh Jimmy Carter pada tahun 1976. Mampu menyamai populariti bekas Presiden John F Kennedy yang mati dibunuh dan diberi jolokan ‘John F Kennedy kulit hitam.

Menjadi senator pertama yang dipilih untuk terus menjadi Presiden selepas John F. Kennedy pada tahun 1960. Obama dari seorang peguam menjadi ahli senator dan terus menjadi Presiden AS.

Obama turut mencatat sejarah kerana menang di kawasan-kawasan yang tidak pernah mengundi calon Parti Demokrat selama 44 tahun iaitu di Indiana dan Virginia, malah di Ohio dan Florida yang kerapkali menjadi kawasan utama kemenangan Bush sebelum ini telah memihak kepada Obama. Dan, kubu MCCain di Pennsylvania juga jatuh ke tangan Obama.


CHANGE!! Teringat saya pada kebangkitan seorang anak melayu Pulau Pinang yang telah dijatuhkan melalui pengaiban laporang palsu sehingga dipenjara enam tahun sejak 1998- Anwar Ibrahim. Beliau melaungkan kalimat RE-FOR-MA-SI!!..Berjaya menarik seramai mungkin masyarakat dalam negara dan luar negara dengan kalimatnya ini.

Barangkali, boleh juga kita fikirkan bersama, apakah kalimat yang maknanya atau mengajak kita menuju kepada 'pembaharuan', 'perubahan', atau 'islah' ini ada nilainya yang tersendiri?

Negaraku Hari ini...

Mengapa masyarakat negaraku hari ini ya? Sering membuat onar yang dasyat dan terlampau ngeri. Barangkali waktu dahulu, kita tidak pernah terfikir akan terjadi begini pada masyarakat negara kita.

Semalam, dan dua tiga minggu sebelumnya juga, aku sering membaca akhbar utama negara - tidak kira kerajaan atau oposisi - aku baca semua supaya jadi orang bermaklumat.

Dalam akhbar utama tempatan, terlalu banyak dan hampir 40% beritanya tentang kesalahan onar masyarakat negara ini yang kununnya sangat bersopan santun dan ramah-tamah. Pelbagai masalah sosial dari peringkat remaja hinggalah kepada peringkat orang tua.

Masalah rogol, mencuri, membunuh, seks, mencabul, kumpulan haram, agama songsang, budaya baru songsang, sangat menjadi-jadi. Bahaya!!

Bagaimana menangani? Siapakah harus memperbetulkan? Apakah tindakan kita? marilah sama-sama kita fikir..Janganlah saling salah-menyalahkan orang hingga masalah lain pula timbul!!

05 November 2008

jauh juga...

Jawapannya...

SELANGOR...

jauh juga tu...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...